Dapur adalah jantung bagi sesebuah rumah kerana di ruang inilah ahli keluarga berkumpul untuk makan bersama dan merupakan tempat yang paling disukai oleh ibu-ibu. Dapur yang berfungsi dengan baik adalah dapur yang kemas, bersih dan wangi. Barulah ibu-ibu lebih bersemangat untuk memasak.
Tentu di sini ada ibu-ibu yang suka deko dapur supaya bersemangat untuk memasak dan sedap mata memandang.
Namun, tentu ada yang berasa kurang nyaman dan selesa dengan dapur yang ada sekarang. Ada yang berasa dapur mereka kecil, ingin tukar mozek dan lantai, ingin menambah pulau dapur (kitchen island), ingin tukar susun atur dapur dan ada juga yang ingin mengubahsuai ruang kabinet.
Jika anda ingin renovate dapur, ada caranya. Banyak benda yang anda harus pertimbangkan. Ia juga memerlukan bajet yang banyak untuk renovate dapur jika senarai ubahsuai anda panjang. Anda harus melibatkan pasangan anda atau ahli keluarga anda terlebih dahulu kerana projek ini adalah berskala besar untuk keluarga anda.
Ramai pemilik rumah yang terkejut kerana projek renovate dapur memerlukan kos yang tinggi dan ada juga yang kecewa kerana pengubahsuaian tersebut tidak menepati cita rasa mereka. Hal ini berlaku kerana mereka tidak meluangkan masa untuk berbincang dan menentukan apa yang mereka mahu dan apa yang mereka mampu.
Mulakan bertanya pada diri anda atau pasangan anda apakah masalah yang anda alami dan kenapa anda ingin renovate dapur anda yang sekarang.
Kemudian, senaraikan keutamaan perkara yang anda inginkan pada dapur baharu dan susun mengikut kepentingannya supaya anda dapat membezakan apa yang anda perlukan dengan apa yang anda mahukan.
Tentukan sama ada pengubahsuaian dapur diuruskan oleh kontraktor am atau DIY sendiri. Jika anda bercadang untuk mencari kontraktor, anda akan mengalami masalah orang yang tidak dikenali masuk ke dalam rumah anda dan akan membuat bising selama beberapa minggu dan beberapa bulan. Namun, sekiranya anda mempunyai banyak masa terluang dan mempunyai kemahiran DIY untuk renovate dapur, anda boleh membuatnya sendiri.
Setakat ini, cara termudah dan paling mahal untuk renovate dapur adalah dengan mengupah kontraktor. Anda boleh menjimatkan wang jika anda bersedia untuk mengupah dan menyelia individu lain untuk melakukan kerja secara langsung. Penjimatan kos anda akan menjadi lebih besar sekiranya beberapa tugas yang anda sanggup dan mampu lakukan sendiri.
Pertimbangkan kos yang diperlukan untuk renovate dapur. Sekiranya anda tinggal di rumah yang anda beli untuk diduduki sendiri, pasti kos renovate dapur yang tinggi menjadi berbaloi kerana anda dan keluarga anda akan menggunakan ruang tersebut untuk tempoh masa yang lama.
Tetapi jika anda hanya menyewa rumah, pertimbangkan untuk guna kos yang rendah kerana kemungkinan ruang dapur yang kita ingin ubah tidak sama dengan cita rasa pemilik seterusnya.
Sebelum renovate dapur, anda boleh mula mereka bentuk susun atur dapur yang anda inginkan pada sehelai kertas kosong dan fikirkan perkara yang perlu ada di dapur baharu anda. Terdapat 5 susun atur yang anda boleh aplikasikan di dapur anda. Namun, susun atur yang terbaik adalah susun atur yang mempunyai aliran kerja berbentuk segi tiga (kitchen work triangle).
Anda harus mencari solusi untuk memasak sementara waktu dan makan di ruangan lain sewaktu anda mengubah suai dapur kerana kemungkinan dapur anda tidak akan berfungsi untuk satu jangkamasa tertentu. Dapur memasak, sinki dan peralatan lain akan terputus sambungan dalam masa yang agak lama sekiranya terdapat banyak pengubahsuaian.
Tentukan sama ada anda ingin makan atau membeli makanan di luar atau anda ingin buat satu ruangan di rumah anda untuk dijadikan dapur sementara waktu.
Langkah pertama yang anda perlu lakukan untuk renovate dapur adalah dengan merobohkan dapur anda yang sekarang. Ia boleh menjadi kerja yang sukar kerana perlu mengalihkan peralatan lama dan membuang barang lama tetapi ia tidak begitu rumit melainkan perobohan tersebut melibatkan dinding.
Kerja perobohan ini sama ada anda boleh lakukannya sendiri atau mengupah krew kontraktor am. Sekiranya anda ingin lakukan sendiri, anda harus beringat dan memakai peralatan keselamatan dan mengambil langkah berjaga-jaga. Anda juga perlu mengatur tempat pembuangan sampah atau cara lain untuk mengangkut serpihan dan sebarang peralatan yang ingin dibuang.
Selepas selesai perobohan dapur, anda atau kontraktor am boleh melakukan apa sahaja kerja rangka yang diperlukan untuk projek renovate dapur. Ia bergantung pada konfigurasi dapur baru anda. Tanya pada diri anda, adakah anda ingin menambah, menggantikan tingkap atau mengalih keluar tingkap lama untuk menambah ruang kabinet? Pada fasa ini, anda bekerja mengikut pelan bangunan yang telah ditetapkan semasa peringkat perancangan. Sekiranya anda ingin mengubah fikiran, anda perlu berbincang dengan kontraktor terlebih dahulu.
Selepas kerja binaan struktur dapur, langkah seterusnya adalah paip, pendawaian dan saluran HVAC (heating, ventilation & air-conditioning). Proses ini dikenali sebagai fasa mekanikal ‘rough in’ dan biasanya dilakukan oleh tukang paip berlesen, juruelektrik dan pakar HVAC yang diupah oleh kontraktor am atau oleh anda sendiri.
Proses ini adalah lebih baik dilakukan oleh pakar kerana ia memerlukan kemahiran untuk memasang litar dan pemasangan paip. Sekiranya ia tidak dilakukan dengan betul, anda akan mengalami beberapa masalah dan keselamatan anda tidak akan terjamin. Jadi, lebih baik anda menyerahkan pekerjaan ini kepada yang lebih pakar dan boleh melakukan kerja ini dengan lebih pantas.
Sebaik sahaja paip, pendawaian dan sambungan kasar HVAC telah disiapkan dan diluluskan oleh pemeriksa, dinding dan siling boleh ditutup. Anda boleh mengecat dan mengemas dinding serta siling dengan sendiri untuk menjimatkan wang. Walau bagaimanapun, pakar boleh melakukan kerja ini dengan lebih cepat dan agak murah.
Pemasangan lantai biasanya akan dipasang selepas mengecat dinding dan memasang siling supaya tidak terkena pada lantai. Masa dan perbelanjaan untuk pemasangan lantai bergantung pada jenis lantai yang dipilih.
Selepas memasang lantai, anda sudah boleh memasang kabinet dan ‘countertop’ di dapur anda. Banyak kesabaran diperlukan untuk memasang kabinet. Jika anda ingin DIY sendiri anda perlu mengambil beberapa orang pembantu dan kerja ini mengambil masa sehari atau dua hari untuk siap.Â
Memasang ‘countertop’ lebih sukar walaupun ia kelihatan sangat mudah. Sekiranya anda ingin memasang ‘countertop’ jubin seramik, ia lebih baik dipasang oleh pakar jubin. Oleh kerana ‘countertop’ dipasang di atas kabinet, pemasangan ‘countertop’ yang terbaik bergantung pada asas kabinet yang kukuh.
Selepas selesai memasang kabinet dan ‘countertop’, anda boleh alihkan kesemua perkakas dapur anda ke dapur baru. Susun peralatan dapur mengikut cita rasa anda dan gunakan laci dapur kabinet baru anda seoptimum yang mungkin. Tukang paip akan menyambungkan bekalan air pada sinki manakala juruelektrik akan memasang lampu dan menyambungkan suis di dapur. Sekiranya anda mahir dalam bidang ini, anda boleh jimat kos dan tidak perlu mengupah tukang paip dan juruelektrik.
Fasa yang terakhir adalah dengan memeriksa pengubahsuaian dapur dan membaik pulih sekiranya ada yang masih belum siap. Jika anda mengupah kontraktor am, lakukan ‘walk-through’ dan senaraikan apa sahaja yang tidak memenuhi kepuasan anda sepenuhnya.
Kemudian, beritahu mereka termasuk perkara seperti sambungan acuan trim yang tidak tepat, lantai yang tidak rata serta sebarang percanggahan besar yang anda perasan. Ini adalah masa untuk memastikan anda berpuas hati dengan semua kerja yang dilakukan.
Jika anda sudah berpuas hati dengan pengubahsuaian dapur, anda sudah boleh bergotong-royong dapur anda bersama ahli keluarga atau kawan-kawan. Dan sekarang, dapur anda sudah siap! Nikmati ruang dan kemudahan baharu di dapur anda!