8 Langkah Untuk Hilangkan Hama Pada Tilam

Langgan channel Telegram Giler Deco untuk trend deko terkini & informasi hiasan dalaman yang menarik.
Giler Deco

Sakit hati kan bila tidur tapi pagi esok bangun tengok tubuh kita dipenuhi dengan kemerah-merahan dan ada rasa gatal-gatal? Kemungkinan anda terkena dengan serangan hama. Purata hama pada tilam anda adalah 100,000 hingga sejuta ekor dan ia bergantung kepada berapa lama anda menggunakan tilam tersebut.

Hama berbeza dengan pepijat dimana hama boleh menyebabkan anda ruam sekiranya anda seorang yang allergik. Antara simptom yang disebabkan oleh hama adalah akan mempunyai masalah pernafasan dan gatal hidung atau mata. Manakala pepijat pula serangga yang menggigit manusia dan sangat aktif pada waktu malam. Contoh gigitannya adalah berbentuk garis lurus atau zigzag, kesan timbul, kesan darah atau bau yang tidak menyenangkan.

Jadi, anda perlulah memastikan tilam anda bebas daripada hama supaya ia tidak mendatangkan kesan yang buruk kepada anda atau ahli keluarga anda terutama mereka yang mempunyai bayi di rumah. Disini kami telah menyenaraikan langkah-langkah untuk hilangkan hama pada tilam.

Langkah-Langkah Untuk Hilangkan Hama Pada Tilam

1. Kosongkan tilam dan basuh semua cadar dan sarung bantal

Tanggalkan sarung bantal, cadar, selimut dan sebagainya daripada tilam dan biarkan ia di dalam mesin basuh. Kemudian, cuci bantal dalam air panas. Tetapi, ia juga bergantung pada jenis bantal yang anda guna (semak semula label penjagaan bantal).

Seterusnya, letakkan tilam pada satu tempat khas yang memudahkan anda untuk membersihkannya. Boleh je kalau anda nak bersihkannya di atas katil tanpa mengalihkannya.

2. Vakum tilam

Vakum pada seluruh permukaan tilam termasuk pada bahagian tepi. Gunakan penyedut yang tirus dan lubang sempit untuk menyedut habuk pada celah-celah di antara jahitan tilam.

Jika anda tidak mempunyai vakum, gunakan alat penyingkir habuk yang lain seperti bulu ayam, penyapu dan sebagainya yang dapat membantu anda menyingkirkan habuk-habuk pada tilam.

3. Bersihkan kotoran

Untuk membersihkan kotoran pada tilam seperti darah, muntah, peluh, air kencing dan kesan yang lain, anda perlu sediakan air sabun sama ada cecair sabun yang khas atau sabun pencuci pinggan yang dicampurkan dengan air suam dan sehelai kain bersih. Celupkan kain tersebut, perah sedikit kemudian sental pada kotoran sehingga warna dan bau dapat dihilangkan.

Sekiranya warna kotoran tersebut sukar dihilangkan, anda boleh menggunakan cecair peluntur. Pastikan bukan daripada jenis peluntur warna. Sental sehingga anda berpuas hati.

Hilangkan hama pada tilam > bersihkan kotoran

4. Semburkan tilam dengan cuka

Sediakan campuran cuka dan air dan masukkan ke dalam botol penyembur. Semburkan air campuran cuka ini pada permukaan tilam terutama sekali pada bahagian yang mempunyai kesan kotoran yang degil. Kemudian, biarkan seketika sehingga kering.

Anda juga boleh menggunakan kaedah tekap tisu pada permukaan tilam untuk menyerap kesan cecair yang disemburkan tadi. Elakkan siram cecair tersebut pada permukaan tilam kerana ia akan meninggalkan kesan tompokan pada tilam.

5. Tabur serbuk soda bikarbonat

Jika anda tidak boleh meletakkan tilam di bawah sinaran matahari, anda perlu taburkan serbuk soda bikarbonat pada keseluruhan permukaan tilam dan biarkan ia selama beberapa jam. Pastikan tingkap di dalam bilik terbuka untuk membenarkan cahaya matahari masuk.

Soda bikarbonat akan menyerap kelembapan dan bau pada tilam manakala sinaran matahari akan membantu membunuh bakteria pada tilam. Lebih lama anda biarkan adalah lebih baik!

6. Vakum tilam sekali lagi

Untuk hilangkan serbuk soda bikarbonat, anda perlu sedut menggunakan penyedut vakum atau penyapu supaya tidak meninggalkan kesan serbuk tersebut pada permukaan tilam.

7. Terbalikkan tilam dan ulang langkah 2-6

Untuk memastikan tilam tersebut bersih dan segar, anda perlu terbalikkan tilam pada bahagian sebelah lagi kemudian ulang langkah 2-6. Pastikan kedua-dua belah permukaan kering.

Kaedah yang lebih baik untuk memastikan tilam tersebut betul-betul kering adalah dengan menjemur di luar rumah dan pastikan dua-dua belah permukaan tilam kena cahaya matahari.

8. Pasang semula cadar tilam yang telah dicuci

Akhir sekali, anda boleh pasang semula cadar tilam, pelapik cadar dan bantal yang telah dibersihkan. Susun mengikut keselesaan anda dan boleh sembur pewangi supaya tilam anda bau lebih segar dan harum.

Tips Untuk Elakkan Hama Tilam
  • Gunakan pelapik cadar sebagai pelapik sebelum anda menggunakan sarung cadar supaya ia dapat menyerap sebarang jenis kotoran yang tumpah. 

  • Elakkan haiwan peliharaan seperti kucing tidur di atas katil anda. Bulu-bulu yang lekat pada katil akan menyebabkan kegatalan pada kulit.

Mudah je rupanya nak bersihkan tilam tapi ramai di antara kita yang jarang buat. Selain itu, ramai juga yang menyangkakan bahawa dengan menukar sarung cadar dan sarung bantal dua kali seminggu sudah memadai. Namun, pakar pembersihan rumah mencadangkan kita membersihkan tilam sekurang-kurangnya setiap enam bulan. Dengan cara ini, anda dapat hilangkan hama pada tilam anda sekaligus menjadikan katil anda bersih dan segar.

Setakat ini sahaja perkongsian daripada Giler Deco. Semoga bermanfaat!

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2022 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down