Tips Beli Aircond & 4 Jenama Terbaik Untuk Anda Pilih

3,775 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Tidak dinafikan aircond merupakan salah satu perkakas wajib di rumah anda. Aircond memainkan peranan untuk menyejukkan sesebuah ruang di dalam rumah. Kebiasaannya ramai yang pening kepala apabila ingin membeli aircond baru. Terdapat terlalu banyak pilihan jenama dan spesifikasi yang terdapat di kedai. Di sini, kami akan memberikan beberapa tips beli aircond yang pastinya berguna untuk membantu anda membuat pilihan yang tepat sebelum membuat pembelian aircond.

Apakah jenis-jenis aircond?

Sebelum itu, anda haruslah tahu terlebih dahulu apakah jenis-jenis aircond yang dijual di pasaran. Anda digalakkan beli aircond yang sesuai mengikut keperluan rumah anda. Terdapat dua jenis beli aircond yang terdapat di pasaran laitu:

1. Wall-mounted

Sumber foto: New England Ductless

Aircond jenis wall mounted merupakan aircond yang dipasang pada dinding rumah anda. Aircond jenis ini adalah lebih sesuai untuk ruang bilik yang kecil dan tidak terlalu besar.

2. Ceiling

tips beli aircond
Sumber foto: aconman

Aircond jenis ini mempunyai saiz yang besar dan dipasang pada siling sesebuah ruang. Dari segi penggunaan, ianya adalah lebih sesuai untuk ruang yang besar seperti pejabat, ruang tamu besar.

Berapakah kuasa aircond yang sesuai?

Sebelum membuat pembelian, anda harus mengetahui kuasa aircond yang sesuai untuk ruang di rumah anda. Kuasa aircond yang sesuai haruslah mengikut saiz sesebuah ruang bilik. Untuk mengetahui kuasa aircond yang tepat, beberapa langkah pengiraan perlu dilakukan sebelum membuat pembelian aircond. Kuasa kapasiti aircond dihitung di dalam unit HP atau horse power. Berikut merupakan langkah-langkah untuk menentukan kuasa aircond mengikut saiz ruang.

Langkah 1: Kira isipadu bilik

Isipadu bilik = panjang (kaki) x lebar (kaki) x tinggi (kaki) , unit isipadu adalah V kaki padu.

Langkah 2: Darabkan isipadu dengan 6

C1 = V x 6, hasil darab disebut sebagai C1

Langkah 3: Anggarkan jumlah orang (P) yang akan menggunakan bilik tersebut. Setiap orang mengeluarkan lebih kurang 500 BTU/jam haba dari badan mereka untuk aktiviti harian biasa.

C2 = P x 500 BTU/jam, C2 adalah jumlah haba bagi semua orang

Langkah 4: Jumlahkan kedua-dua nilai C1 dan C2 untuk mencari kapasiti

C = C1 + C2, di mana unit C masih BTU/jam

Langkah 5: Setelah dapat nilai C, rujuk jadual di bawah.

Nilai C (BTU/jam)Kapasiti 
9000 - 100001HP
11000 - 150001.5HP
16000 - 200002HP
21000 - 270002.5HP
Jadual untuk menentukan nilai C

Contoh pengiraan:

Sebuah bilik berukuran 16' x 20' dengan ketinggian 9.8 kaki (3 meter) dan diduduki oleh 2 orang. Maka pengiraan kapasiti penghawa dingin adalah:

V = Panjang x lebar x tinggi

      = 16 x 20 x 9.8 = 3136

C1 = V X 6

           = 3136 x 6 = 18816

C2 = P X 500 BTU/Jam

                = 2 x 500 BTU/Jam = 1000

C = C1 + C2 

              = 18816 + 1000 = 19816 BTU/Jam 

19816 termasuk dalam range 16000 - 20000 BTU/jam. Maka kapasiti penghawa dingin yang sesuai ialah 2.0HP.

Bagaimana cara mengetahui saiz aircon yang sesuai?

Untuk memilih saiz aircond yang sesuai, anda harus mengetahui luas sesebuah bilik ataupun ruang. Aircond yang bersaiz besar adalah tidak sesuai untuk ruang yang kecil. Hal ini kerana kuasa yang digunakan untuk aircond beroperasi adalah overlimit dan pembaziran elektrik bakal berlaku. 

Meskipun ruang kecil lebih cepat sejuk jika saiz aircond yang besar digunakan, namun anda harus juga mengambil kira kos elektrik dan amaun tenaga berlebihan yang dihasilkan oleh aircond.

Apakah faktor yang harus diambil kira sebelum beli aircond?

  1. British Thermal Unit (BTU) 

Nilai BTU boleh didapati pada label sesebuah aircond. Nilai BTU digunakan untuk mengenalpasti kuasa penyejukan yang dihasilkan oleh aircond. Untuk mengetahui nilai BTU yang sesuai untuk sesebuah ruang di dalam rumah anda. Anda harus mengira terlebih dahulu luas ruang tersebut. Barulah nilai BTU boleh ditentukan. Untuk pengiraan nilai BTU, anda boleh rujuk subpoin pengiraan di atas.

  1. Energy Efficiency Rating (EER)

Nilai EER adalah antara 1 hingga 5. Nilai EER menunjukkan kadar penggunaan tenaga sesebuah aircond. Anda disyorkan untuk membeli aircond yang mempunyai nilai antara 3 hingga 5. Semakin tinggi nilai EER, maka semakin tinggi kadar penjimatan elektrik.

  1. Kawalan bunyi

Faktor kawalan bunyi juga perlu diambil kira sebelum membuat pembelian aircond. Aircond yang mempunyai kawalan bunyi yang baik boleh membantu anda mendapatkan tidur yang nyenyak tanpa sebarang gangguan bunyi. Nilai desibel yang disyorkan untuk bunyi aircond adalah bawah 50 desibel (dB).

Apakah beza antara aircond inverter dan non-inverter?

InverterNon-Inverter
Jimat tenagaBerharga lebih murah
Lebih mesra persekitaran kerana tidak menghasilkan bunyi yang terlalu kuatLebih banyak menghasilkan bunyi bising oleh kerana proses on-off yang berulang
inverter vs non-inverter

Jenama aircond manakah paling terbaik untuk dibeli?

Menurut pakar pemasangan dan servis aircond yang bertapak di Johor Bahru, ANAQIL, tips beli aircond yang paling utama ialah pelanggan harus mengkaji dahulu jenis-jenis dan jenama aircond yang ada di pasaran. 

Jangan hanya membeli aircond kerana kita pernah dengar tentangnya, tetapi ambil tahu aspek-aspek penting yang akan menjadikan pelaburan anda berbaloi.

Antara soalan penting yang anda perlu fikirkan ialah:

  1. Adakah aircond jenama tersebut mempunyai sparepart yang mudah didapati di Malaysia?
  2. Berapa lamakah waranti untuk indoor unit dan compressor? Kebiasaannya, waranti indoor unit ditawarkan untuk 1-2 tahun, manakala compressor pula sehingga 5 tahun. 
  3. Bagaimanakah cara untuk membuat claim waranti sekiranya aircond rosak dalam tempoh tersebut?
  4. Adakah jenama tersebut mempunyai servis khidmat pelanggan yang bagus? 
  5. Berapakah star-rating untuk penjimatan tenaga bagi produk tersebut?

Manakala jika bercerita tentang jenama-jenama aircond, pakar servis aircond dari Pulau Pinang, NASAircond ada berkongsi tentang topik tersebut di Facebook mereka. Berikut merupakan kesimpulan hasil dapatan kami:

Midea

Jenama dari China yang merupakan pilihan aircond bajet terbaik. Mempunyai harga yang bagus, kualiti yang baik dan khidmat sokongan pelanggan yang memuaskan. Sparepart pula mudah didapati dan mempunyai teknologi yang menjadikan aircond cepat sejuk.

Daikin

Jenama no. 1 di Malaysia. Harga lebih mahal namun ramai pemilik rumah dan pejabat kerajaan memilih jenama ini kerana tahan lasak. Daikin sebenarnya telah mengambil alih jenama York yang pernah tersohor pada suatu ketika dahulu. 

Panasonic

Jenama aircond yang ekslusif dan mempunyai teknologi yang canggih seperti Nano-E yang boleh melemahkan bakteria. Seperti barangan elektrik yang lain, aircond Panasonic juga berkualiti dan tahan lama.

Acson

Jenama aircond terulung buatan Malaysia. Acson merupakan anak syarikat kepada syarikat Daikin sejak tahun 2006, maka tidak hairanlah kualiti aircond yang dihasilkan adalah setanding. 

Produk-produk bagi jenama Daikin, Panasonic dan Mitsubishi memiliki Energy Efficiency Rating (EER) rating 5-star oleh Jabatan Tenaga Malaysia. Namun tidak semua model menerima rating tersebut. Pastikan anda meneliti dahulu spesifikasi setiap model sebelum membuat keputusan.

Beli aircond yang betul mengikut jenis dan saiz ruang di rumah anda sememangnya akan memberikan kepuasan kepada anda. Oleh itu, sebelum membeli aircond, pastikan anda mengikuti tips-tips yang telah diberikan untuk pembelian yang berbaloi. Adalah penting juga untuk anda survey dahulu jenama-jenama aircond yang sering dibeli oleh rakyat Malaysia.

Selain itu, anda juga perlu mengetahui cara mencuci aircond tanpa mengupah servis dan bagaimana untuk troubleshoot masalah kecil seperti kenapa aircond tiba-tiba tidak sejuk supaya anda dapat memanjangkan jangka hayat aircond anda.

Semoga perkongsian Giler Deco kali ini bermanfaat dan membantu anda untuk beli aircond.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down