Panduan Memilih Sinki Dapur & 5 Jenama Sinki Popular

6,335 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Kaedah pemilihan sinki dapur yang betul sering kali menjadi tanda tanya ketika anda ingin renovate dapur atau berpindah ke rumah baharu. Terdapat pelbagai parameter yang perlu dititikberatkan untuk memastikan sinki dapur yang dipilih adalah yang terbaik antara yang terbaik. Berikut merupakan faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum membeli sinki dapur :

  • Jenis sinki
  • Material sinki
  • Kekuatan
  • Kapasiti

Apakah jenis-jenis sinki yang ada di pasaran?

Sebelum memasang sinki di dapur anda, anda wajib mengetahui jenis-jenis sinki yang terdapat di pasaran. Sinki yang berbeza mempunyai nilai estetika yang berbeza dan ditentukan oleh citarasa serta konsep dapur anda. Berikut merupakan jenis-jenis sinki yang boleh didapati di kedai-kedai peralatan rumah:

Sinki jenis drop in
                                         

sinki dapur

Sinki jenis drop in (atau dikenali juga sebagai top-mount) adalah antara sinki yang paling mudah untuk dipasang. Sinki jenis drop in kebiasaannya dipasang pada kabinet dapur dengan birainya berada sedikit tinggi berbanding permukaan kabinet. Kelebihan sinki jenis ini adalah menjimatkan ruang dapur dan juga boleh memerangkap kotoran di dalam sinki dengan lebih efisien. 

Namun begitu terdapat beberapa kekurangan untuk sinki jenis drop in. Antaranya adalah sukar untuk diselenggara berbanding jenis sinki yang lain.  

Sinki jenis farmhouse 

Sinki dapur jenis farmhouse adalah sesuai untuk membasuh periuk yang bersaiz besar. Hal ini kerana sinki jenis ini mempunyai saiz yang paling besar berbanding yang lain.

Selain didatangi dengan pelbagai design, sinki farmhouse merupakan pilihan ideal untuk suri rumah yang mempunyai ruang dapur yang besar. Selain nampak mewah dan gah, kehadiran sinki jenis ini juga memberikan vibe elegan untuk dapur anda.

Sinki bar   

Juga digelar sebagai prep sink, sinki dapur jenis bar dianggap sebagai sinki yang mempunyai bentuk yang unik berbanding jenis sinki yang lain. Pelbagai bentuk boleh didapati di pasaran. Antaranya adalah bulat dan petak.

Cara pemasangan sinki bar adalah sama seperti sink jenis drop in dan farmhouse. Namun fungsinya adalah berbeza. Sinki bar lebih lazim digunakan sebagai sinki hiasan dan sinki minuman. Dari segi kedalaman, sinki jenis ini adalah lebih cetek berbanding sinki-sinki yang lain.

Sinki jenis flush mount

Sinki dapur jenis ini secara fizikalnya adalah lebih kurang sama dengan sinki jenis drop-in, namun sebenarnya birai sinki flush mount berada searas dengan permukaan kabinet. Maka, sisa-sisa dapur yang ada semasa anda sedang prep bahan masakan mudah dikumpulkan di dalam sinki tanpa melekat di celah-celah sinki. Sinki jenis ini sesuai untuk anda yang meinginkan gaya dapur minimalis.

Sinki jenis undermount

Sinki jenis undermount dipasang di bawah paras kabinet dapur. Secara tidak langsung, ianya adalah lebih mudah dibersihkan berbanding sinki-sinki yang lain. Dari segi keluasan, sinki jenis undermount mempunyai ruang yang sederhana luas dan sesuai untuk kegunaan harian suri rumah di dapur.

Berapakah saiz sinki yang sesuai?

Terdapat banyak faktor yang menentukan saiz sinki yang ideal seperti ketinggian anda, kekerapan dan tahap aktiviti di dapur, saiz dapur, saiz kabinet dan konsep gaya dapur anda. Anda juga harus memikirkan tentang keperluan-keperluan lain seperti pili sinki, penapis air, perpaipan dan aksesori untuk menyusun atur barang-barang sinki.

Oleh kerana banyak jenis sinki dapur yang dipasang pada permukaan kabinet, sudah tentu saiz sinki tidak boleh lebih besar daripada saiz kabinet. 

Semasa memilih model tertentu, anda mestilah terlebih dahulu mengetahui :

  1. Lebar kabinet dapur anda
  2. Kedalaman kabinet dapur anda

Rata-rata pemilik rumah memilih panjang sinki dapur yang berukuran tidak lebih 30 inci untuk dapur mereka. Saiz antara 22 hingga 27 inci lebih sesuai untuk ruang dapur yang kecil.

Kedalaman sinki yang sesuai adalah sekurang-kurangnya 7 hingga 7.25 inci kerana sinki yang cetek akan menyebabkan tidak banyak pinggan mangkuk boleh dimasukkan ke dalam sinki. Namun, sekiranya anda tersilap memilih sinki yang berkedalaman kurang dari 7 inci, anda mungkin memerlukan pili air yang tinggi atau fleksibel.

Apakah material yang sesuai digunakan untuk sinki dapur?

Ramai di antara kita menganggap material atau bahan untuk membuat sinki adalah sama sahaja. Rupa-rupanya, sinki juga terdiri daripada pelbagai material yang berbeza. Di bawah disenaraikan material-material lazim yang digunakan untuk sinki:

Besi tahan karat (stainless steel)

Sinki yang diperbuat daripada stainless steel merupakan sinki yang sangat lazim di Malaysia. Selain mudah didapati, ianya juga mempunyai pelbagai kelebihan. Antara ciri-ciri sinki yang diperbuat daripada besi stainless steel adalah ianya lebih tahan karat dan ringan. Walau bagaimanapun, anda haruslah bijak mencari stainless steel yang tahan calar dan boleh digunakan untuk jangka masa lama. 

Tembaga (copper)

Tahukah anda sinki yang diperbuat daripada tembaga mempunyai kualiti anti kuman semulajadi. Hal ini kerana, menurut sains, tembaga mempunyai kebolehan untuk menghalang kuman membiak pada permukaannya. Meskipun begitu, untuk menggunakan sinki tembaga, penjagaan yang rapi adalah diperlukan kerana tembaga amat sensitif dan mudah untuk tercalar.

Komposit batu granit

Komposit batu granit merupakan material yang tahan lasak dari segi kekuatan dan juga merupakan material yang tahan calar. Selain itu, sinki yang diperbuat daripada material ini adalah lebih mudah dibersihkan kerana sifatnya yang tidak mempunyai liang atau poreless.

Fireclay

Fireclay adalah material tidak berliang dan berkilat yang tahan calar dan kotoran. Seperti porselin, ia dibakar pada suhu yang sangat tinggi untuk ketahanan maksimum. Sinki jenis fireclay tersedia dalam pelbagai warna yang tidak mudah luntur.

Cast iron

Sinki yang diperbuat daripada cast iron memberikan gaya elegan dan moden kepada anda. Sifatnya yang tahan haba sangat sesuai digunakan di dapur. Meskipun begitu, material tidak mampu bertahan dalam jangka masa yang lama kerana enamelnya mudah untuk rosak atau rapuh.

Jubin (native stone)

Jubin merupakan bahan yang tidak asing lagi dalam pembuatan sinki. Ramai yang memilih sinki jubin kerana nilai estetikanya dan strukturnya yang kuat. Permukaan sinki jubin adalah sedikit kasar berbanding jenis material yang lain. 

Berapakah bilangan mangkuk sinki yang betul

Bilangan basin atau mangkuk sinki juga memainkan peranan dalam pemilihan sinki yang baik untuk dapur anda. Berikut merupakan bilangan-bilangan basin yang sering didapati di pasaran:

Satu (single basin)

Sinki satu basin mempunyai kelebihan dari segi keluasannya. Ianya adalah sesuai untuk membasuh periuk atau kuali yang bersaiz besar. Dari segi kedalaman, kebiasaannya sinki yang mempunyai satu basin adalah lebih dalam berbanding yang lain.

Dua (double basin)

Sinki yang mempunyai dua basin sesuai sekiranya anda ingin melakukan tugas membasuh dan membilas pada satu masa. Terdapat pelbagai pilihan saiz kedua-dua basin tersebut, ada yang sama besar, sebelah kanan besar dan kiri sedikit kecil atau sebaliknya. 

Tiga (triple basin)

Oleh kerananya saiznya yang lebar, sinki yang mempunyai tiga basin akan memakan ruang kabinet dapur anda. Sekiranya anda mempunyai ruang dapur yang kecil, adalah tidak disarankan untuk menggunakan sinki tiga basin. Kebiasaannya ketiga-tiga basin tersebut tidak mempunyai saiz yang sama. Basin yang paling kecil lazimnya diletakkan pada bahagian tengah.

Bilangan outlet sinki

Terdapat pelbagai bilangan outlet sinki yang boleh anda temui di pasaran. Kebiasaannya outlet sinki digunakan untuk pemasangan pili air (faucet). Namun ada juga sinki yang mempunyai beberapa outlet untuk menempatkan aksesori lain seperti pili air panas dan sejuk, dispenser air bertapis atau dispenser untuk sabun cecair.

Bridge faucet

5 jenama sinki popular di Malaysia

Bercerita tentang peralatan dapur, sudah tentu kita cenderung untuk memilih jenama yang popular di pasaran tempatan. Berikut merupakan 5 jenama sinki yang ada di Malaysia:

  • Ikea
  • Teka
  • Rubine
  • Haustern
  • Bacera

Sebelum membuat pembelian sinki dapur, anda digalakkan untuk mengambil kira kesemua faktor-faktor yang telah dikupas.

Sinki yang berkualiti dan sesuai sudah pasti akan memudahkan kerja anda terutamanya suri rumah ketika di dapur. Anda disarankan untuk memilih jenis sinki mengikut keperluan dan saiz dapur anda.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down