5 Hiasan Meja Makan Yang Pasti Menaikkan Selera Anda

6,037 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Meja makan merupakan tempat bersosial paling utama di dalam rumah, sama ada untuk mengeratkan tali kekeluargaan mahupun untuk meraikan tetamu yang datang berkunjung ke rumah. Sudah pasti mempunyai hiasan meja makan yang menarik akan menaikkan mood dan suasana agar lebih ceria. 

Selain itu, dekorasi meja makan juga boleh dijadikan topik untuk merancakkan lagi perbualan.

Maka, tidak hairanlah jika isteri dan para ibu sangat menitikberatkan suasana ruang makan terutama sekali apa yang ada di atas meja makan mereka. Bukan hanya nak perut kenyang, tapi mata pun sedap memandang, terus naik selera.

Berikut merupakan senarai barang dekorasi yang boleh anda gunakan sebagai hiasan meja makan anda.

Pokok Hiasan

Tiada masalah jika anda ingin memilih pokok hiasan hidup, bunga tiruan atau bunga hidup sebagai centrepiece hiasan meja makan anda. Semuanya bergantung kepada citarasa peribadi, bajet dan juga kerajinan anda. 

1. Pokok Hiasan Hidup

hiasan meja makan pokok hidup
Kredit: shiftpropertystyling.com.au

Sesuai untuk anda yang gemarkan suasana tropika dan mempunyai masa untuk menjaga pokok dengan baik. Pokok hiasan yang dipilih haruslah tidak terlalu besar. Gunakan pasu kecil atau dulang kecil untuk menempatkan pokok hiasan hidup anda.

Pastikan ruang makan anda mempunyai pencahayaan yang sesuai dengannya. Anda boleh menjadikan senarai pokok di bawah ini sebagai panduan:

Cahaya matahari terik & langsung ke meja makan

Jika ruang makan anda mempunyai tingkap yang besar dan cahaya matahari yang terus ke sudut anda meletakkan meja makan anda, kaktus dan succulent sangat sesuai untuk meja makan anda.

Cahaya matahari tidak langsung tetapi pencahayaan mencukupi

Jika tingkap anda menghadap ke timur atau barat, anda boleh menanam pokok yang subur sekiranya pencahayaan mencukupi seperti dracaena, ficus dan zebra plant.

Pencahayaan yang suram

Jika tingkap ruang makan anda mengadap ke utara, anda disarankan untuk menanam pokok yang tidak memerlukan cahaya yang banyak seperti snake plant, paku pakis, ZZ plant atau bunga orkid.

2. Bunga tiruan atau bunga hidup

hiasan meja makan bunga tiruan
Kredit: Pinterest

Selain pokok hiasan, tiada siapa yang dapat menangkis keindahan gubahan bunga samada hidup mahupun tiruan dalam menghasilkan suasana ruang makan yang menarik.

Jika anda mempunyai masa dan bajet, pilihan bunga hidup pasti menghidupkan suasana ruang makan anda. Sekiranya anda sekali-sekala membeli bunga hidup, pastikan anda membeli pasu yang besar dan mempunyai daya tarikan yang unik supaya ianya dapat menjadi focal point sekiranya anda tidak mempunyai masa untuk menggantikan bunga hidup yang baru dengan segera.

Lapik Cawan

Kredit: Pinterest

Pelapik cawan tidak hanya sesuai untuk dijadikan hiasan meja makan yang menarik tetapi juga berfungsi untuk mengurangkan tumpahan air terus ke meja makan. Untuk gaya yang trendy, pilih pelapik cawan kayu atau bermanik. 

Namun sekiranya anda sukakan sesuatu yang nampak klasik, pilih pelapik cawan daripada rotan untuk diletakkan di atas meja makan.

Tisu Napkin & Lapik Pinggan

napkin dan lapik pinggan hiasan meja makan
Kredit: Pinterest

Koordinasi warna dan corak napkin, pengikat atau cincin napkin dan lapik pinggan yang selari akan menaikkan selera keluarga dan tetamu anda. Untuk gaya meja makan yang rustik, penggunaan material seperti kapas, tali guni dan kayu bakal menonjolkan personaliti pemilik rumah yang sukakan elemen alam semulajadi. 

Sebaliknya, untuk anda yang bercitarasa moden dan elegan, material seperti besi, mutiara, manik dan tona warna monokromatik akan memberikan identiti kepada meja makan anda. Jika anda mempunyai meja makan bulat, penggunaan bentuk yang kontra seperti segiempat akan memberikan keseimbangan kepada susun hias meja makan anda.

Table Runner (Selendang Meja)

table runner hiasan meja makan cantik
Kredit: Pinterest

Penggunaan table runner atau selendang meja juga semakin mendapat tempat di hati pemilik rumah di Malaysia. 

Sama ada anda ingin menggunakan table runner bersama lapik meja atau tidak, terpulang! 

Yang penting anda bijak untuk mencipta keharmonian antara 2 barang tersebut. 

Sesuaikan table runner anda dengan material meja makan yang telah anda pilih. Meja makan kayu akan lebih bergaya jika dipadankan dengan selendang meja berwarna. Manakala meja makan kaca, warna-warna metalik dan nude sepatutnya menjadi pilihan anda. 

Mulakan menghias meja makan anda dengan barang-barang di atas. Namun ingat, jangan terlalu sarat dengan hiasan sehingga anda lupa tujuan utama meja makan anda, untuk MAKAN!

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down