Meja Makan Bulat: Adakah Sesuai Untuk Ruang Makan Saya?

1,527 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Apabila berada di kedai perabot, seringkali kita rambang mata melihat pelbagai jenis meja makan yang ada di sana.

Mungkin kita lebih cenderung untuk memilih meja makan mengikut yang berkenan di hati, namun bila sampai saja lori di rumah “Aduh, tak sesuai pula meja ni.”

Lagi-lagi apabila anda membeli meja makan bulat.

Di post yang lain kami telah berkongsi tentang pemilihan saiz meja makan yang sesuai mengikut jumlah pengguna pada satu-satu masa. Tetapi kali ini Giler Deco nak membantu anda untuk memilih bentuk meja makan yang sesuai untuk ruang makan di rumah anda.

Berikut ialah bentuk meja makan yang biasa dijumpai:

  1. Segiempat tepat
  2. Bulat
  3. Segiempat sama
  4. Bujur

Namun, ada juga pemilik rumah yang menempah meja khusus dengan bentuk yang unik seperti hexagon atau free form untuk memberikan penampilan yang unik kepada ruang makan mereka.

Sudah tentu, saiz, material meja dan bentuk ruang makan serta bilangan pengguna meja memainkan peranan yang sangat besar agar meja makan yang anda pilih nampak terletak dan menghidupkan suasana ruang tersebut.

Meja makan segiempat tepat

meja makan segiempat tepat
Kredit: Pinterest

Inilah bentuk meja makan yang paling popular. Hampir kebanyakan rumah memiliki meja makan segiempat tepat berbanding meja bulat kerana selalunya ruang makan juga mempunyai bentuk yang serupa. 

Selain itu, ia juga mampu menempatkan lebih daripada 4 kerusi pada satu-satu masa, lebih-lebih lagi jika ia mempunyai permukaan yang boleh dilaras kepanjangannya (entendable table) atau boleh dilipat. Jadi anda tak perlu risau kalau tetamu datang ramai-ramai kerana masih ada ruang untuk meletakkan kerusi untuk mereka.

Kelebaran meja berbentuk segiempat tepat yang ideal ialah 36-42 inci. Ukuran yang lebih kecil dari ini akan menyebabkan tiada ruang yang cukup untuk anda meletakkan banyak perkakas atau pinggan mangkuk di atas meja.

Jadi, sekiranya anda tetap memilih untuk membeli meja makan yang mempunyai kelebaran yang kurang daripada 36 inci, anda perlu menyediakan sideboard atau meja bufet supaya anda mempunyai ruang ekstra untuk menghidangkan makanan.

Jika dibandingkan dengan meja makan bulat, meja berbentuk segiempat tepat ini memudahkan pengguna untuk mengambil lauk dan mengedarkan pinggan kepada orang yang duduk di sebelah .

Meja makan bulat

meja makan bulat
Kredit: Pinterest

Meja makan bulat merupakan satu solusi sekiranya rumah anda mempunyai ruang makan bersaiz kecil atau ruang yang berbentuk segiempat sama (lebar = panjang).

Anda yang mementingkan intimasi patut memilih meja jenis ini. Pasti tetamu melekat saja di meja makan kerana meja berbentuk bulat membolehkan anda untuk mempunyai direct eye contact dengan setiap tetamu. Sebab itu kalau anda perasan, meja rundingan biasanya berbentuk bulat.

Namun begitu, penggunaan meja bulat ada limitasinya. Meja bulat bersaiz terlalu besar (8-10 kerusi) menyebabkan suasana tidak kondusif untuk berbual kerana faktor jarak yang jauh. Tambahan pula, jarang-jarang sekali rumah yang dijual dalam pasaran mempunyai ruang makan yang sangat luas untuk menempatkan meja makan buat yang sangat besar.

Jika anda pasangan baru berkahwin atau hanya tinggal berdua, cipta suasana romantik pada di meja makan anda dengan memasang lampu chandelier dan mencari kerusi makan berkusyen. 

Jika anda memerlukan lebih ruang untuk tetamu, meja bulat juga mempunyai versi extendable yang boleh boleh dilaras mengikut keperluan.

Meja makan segiempat sama

meja makan segiempat sama
Kredit: Pinterest

Nak letak meja makan berbentuk segiempat sama di ruang makan berbentuk segiempat tepat? Fikir masak-masak terlebih dulu. 

Ruang makan berbentuk segiempat tepat akan nampak kosong sekiranya anda berbuat demikian.

Sebaliknya, ruang makan yang mempunyai saiz terhad dan berbentuk segiempat sama akan nampak harmoni jika anda meletakkan meja makan yang mempunyai bentuk selari dengannya. Ia memberikan keseimbangan dan simetri kepada ruang makan anda.

Sama seperti meja makan bulat, meja makan berbentuk segiempat sama ini sebenarnya sesuai untuk borak-borak santai dengan keluarga atau mereka yang mempunyai pertalian yang akrab dengan anda. 

Selain itu, jika anda hanya duduk berdua atau bertiga di rumah pada kebanyakan masa, tidak salah untuk anda memilih meja jenis ini untuk mengelakkan rasa ‘kosong’ pada waktu makan. Jika ada tetamu bertandang sesekali, cantumkan 2 meja makan berbentuk segiempat sama untuk mendapatkan lebih banyak ruang.

Meja makan bujur

meja makan bujur
Kredit: Pinterest

Meja jenis ini mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan meja segiempat tepat namun bucunya yang melengkung memberikan ruang kepada lebih banyak kerusi. Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang sedang membesar dan aktif, kami sarankan anda untuk memilih meja makan bujur kerana ianya tidak mempunyai bucu tajam yang merbahaya.

Selain itu, seperti meja makan bulat meja bujur juga memberikan suasana yang mesra tetapi sofistikated.

Anda dah tau nak pilih set meja makan yang macam mana? Pastikan anda meneliti dahulu kegunaan serta saiz dan bentuk ruang makan anda untuk mendapatkan meja yang terbaik.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down