8 Table Top Dapur Yang Sesuai Untuk Rumah di Malaysia

7,914 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Table top dapur merupakan ruang kerja yang selalu digunakan di dalam rumah. Di sinilah para suri rumah menghabiskan masa mereka untuk melakukan kerja-kerja memasak dan menyediakan hidangan yang lazat untuk keluarga mereka. 

Selain melengkapi kabinet dapur, pemasangan table top dapur yang betul akan  menentukan mood dapur anda dan menonjolkan citarasa pemilik rumah. Jadi tak hairanlah, jika suami-suami selalunya menyerahkan urusan memilih kabinet dapur dan table top kepada para isteri kerana di sinilah office suri mereka.

Baca juga apakah perkara yang anda wajib tahu tentang kabinet dapur seperti cara mengukur dan membuat anggaran kos kabinet dapur.

Sebagai ruang kerja yang kerap digunakan, anda haruslah teliti dalam memilih jenis table top dapur. Kalau tersalah pilih, alamatnya hadaplah saja table top anda sampai masa untuk menukarnya kerana kos mengubahsuai table top dan kabinet bukanlah sedikit. Sebelum memikirkan tentang laci kabinet dapur dan aksesorinya, soal ketahanan kabinet terutamanya di bahagian table top perlulah diutamakan.

Senarai Soalan Sebelum Menempah Table Top Dapur

DI bawah ini ialah senarai checklist yang perlu dipertimbangkan oleh pemilik rumah sebelum memilih jenis table top dapur: 

• Warna dan rekabentuk table top

• Saiz dan bentuk table top, terutamanya ketebalan, panjang dan bucu slab 

• Adakah sesuai dengan backsplash dinding jika anda ingin memasangnya

• Adakah sepadan dengan kitchen island, jika ada 

• Ketahanan material dan penjagaannya mengikut cara anda menggunapakai ruang  tersebut 

• Kos-kos yang terlibat termasuklah kos memasang dan juga kos penjagaan 

Jenis Table Top Dapur

Terdapat beberapa pilihan material table top dapur yang ada di pasaran. Antaranya ialah:

  1. Quartz stone
  2. Batu granit
  3. Marble
  4. Konkrit dan jubin tiles
  5. High pressure laminate
  6. Solid wood
  7. Solid surface
  8. Aluminium

Quartz Stone  

table top dapur malaysia quartz stone
Kredit: Cantik Wall

Kebanyakan quartz stone yang ada di pasaran bukanlah diperbuat daripada batu quartz asli, tetapi dicampur dengan mineral lain. Kemudiannya, ia dibentuk menjadi slab menggunakan resin. 

Quartz stone menjadi pilihan utama pemilik rumah di Malaysia kerana sifatnya yang tidak poros. Sifat ini menjadikannya tak mudah tercalar dan tidak menyerap cecair. 

Selain itu, quartz stone mempunyai banyak pilihan warna dan corak. Bahkan mengikut trend masakini, semakin banyak quartz stone yang tampak seakan-akan marble dan cantik untuk dijadikan table top dapur.

Material ini juga sangat tahan lama. Namun, anda haruslah rajin mengilatkan atau polish table top anda supaya kekal berkilat. Ketahanannya cukup sesuai untuk kerja-kerja memasak yang berat. Ianya mudah dijaga dan tidak memerlukan proses sealing berulang kali seperti granite dan marble.

Namun, dari satu sisi penggunaan quartz stone adalah sedikit mahal dari segi kos. Tapi jika ditimbang dari sudut kualiti, table top dapur dari quartz stone sangat berbaloi untuk jangka masa panjang. Alah membeli, menang memakai!

Pro

  • Tahan lama, kalis haba dan tidak mudah calar
  • Mudah dijaga dan tak perlu sealing

Kontra

  • Mahal dan berat
  • Warna akan berubah jika terdedah kepada haba yang terlampau panas

Batu Granit  

table top dapur malaysia granit
Kredit: Tilelines

Granit merupakan batu semulajadi yang dipotong dari kuari dan ditempa kepada bentuk yang diinginkan. 

Seperti table top quartz stone, granit memiliki warna dan pattern yang unik. Tambahan pula, finishing yang dihasilkan juga sangat berkilat menjadikan suasana dapur nampak mewah.

Table top dapur daripada granite mempunyai ketahanan yang tinggi dan mudah dijaga. Ini kerana granite tidak mudah tercalar dan kalis haba sehingga 1200 Celcius! Wow, inilah sebab kenapa granite menjadi table top pilihan bagi pemilik rumah Malaysia yang mampu.

Namun begitu, bagi mengekalkan gam sealant di celah-celah batu, disarankan agar pemilik dapur granite menggunakan pelapik. Ia juga perlu diselenggara setiap tahun bagi mengekalkan ketahanannya.

Pro

  • Tahan lama dan tahan calar
  • Finishing cantik

Kontra

  • Memerlukan penyelenggaraan berkala

Marble atau marmar

table top dapur malaysia marble
Kredit: Guided Home Design

Pesona kecantikan marble atau marmar menjadikan dapur anda nampak mewah dan elegan. Marble juga merupakan material yang tahan lama dan kalis haba, sesuai digunakan sebagai table top kabinet dapur anda.

Namun begitu, marble mempunyai satu kelemahan yang utama. Jika ia terkena makanan berasid seperti lemon atau cuka, marble cukup mudah untuk tampak kusam.

Dari segi kekuatan, marble lebih lembut dan poros jika dibandingkan dengan granit. Oleh itu, jika anda hendak menggunakan table top marble, pasangkan ia di dapur kering. Tetapi, jika anda jarang-jarang guna dapur, tak ada masalah jika nak guna marble.

Disebabkan marble lebih poros, maka ia memerlukan penjagaan yang lebih rapi bagi mengurangkan penyerapan cecair dan kotoran. Pemilik dapur marble haruslah bersedia untuk melakukan penyelenggaraan tahunan, sama seperti dapur granit.

Pro

  • Tahan lama dan kalis haba
  • Cantik dan nampak mewah

Kontra

  • Mahal
  • Mudah menyerap cecair dan kotoran
  • Memerlukan penjagaan rapi dan penyelenggaraan berkala

Konkrit & Jubin (tiles)  

table top dapur malaysia konkrit
Kredit: Urbano Design ID

Antara material table top dapur yang popular ialah konkrit dan jubin. Faktor kos yang murah menjadikannya pilihan pemilik rumah di Malaysia yang mementingkan ketahanan berbanding rupa.

Tapi, table top konkrit bukanlah tak cantik. Jika anda bijak memilih jubin dan mencari kontraktor atau tukang yang pakar, dapur anda juga akan kelihatan cantik dan kemas. Khidmat pakar diperlukan supaya celahan jubin rapat. Kalau tak, kotoran akan terperangkap dan agak renyah untuk mencucinya.

Table top konkrit lebih sesuai dipasang di dapur basah dan bilik air kerana kestabilannya. Dari segi ketahanan, material ini menduduki carta no.1 kerana ia 100% kalis air. Namun, ia kurang sesuai digunakan di dapur kering kerana nampak tebal.

Pro

  • Murah dan stabil
  • 100% kalis air

Kontra

  • Memerlukan khidmat pakar untuk hasil kerja yang kemas

High Pressure Laminate  

table top dapur malaysia laminate
Kredit: Wood Thang Concept

Table top HPL ini mempunyai asas daripada kayu dan dilapisi dengan laminate, iaitu lapisan kertas yang dimampatkan menggunakan tekanan haba dan diikat menggunakan resin. Oleh itu, walaupun ianya boleh dijadikan table top tetapi HPL tidaklah kalis air seperti mana table top berasaskan batu atau marmar.

HPL mempunyai banyak pilihan warna dan corak. Ada yang bercorak kayu dan seakan-akan marmar. Jika anda ke kedai kabinet, anda akan menjumpai beberapa jenama HPL seperti Mieco dan Formica.

Ia merupakan pilihan yang sesuai jika anda mempunyai bajet yang kecil untuk dapur. Namun begitu, anda harus menjaganya dengan baik kerana ia mudah tercalar dan mempunyai risiko diserang anai-anai.

Dari segi pembersihan pula, HPL lebih mudah dicuci dan tidak menyerap sebarang tumpahan. Table top HPL dikatakan dapat bertahan sehingga 10 tahun.

Pro

  • Murah dan ringan
  • Banyak pilihan warna dan corak

Kontra

  • Risiko diserang anai-anai
  • Mudah calar dan tidak kalis air

Solid wood 

Agak sukar untuk anda menjumpai table top dapur daripada kayu keras tulen pada masa ini kerana kurangnya pengeluar material jenis ini. Table top dapur kayu keras memberikan rasa elegan dan vintage kepada dapur, semestinya dapur akan nampak tak lapuk dek zaman.

Pro

  • Memberikan keunikan

Kontra

  • Sukar dicari

Solid Surface  

Campuran antara batu semulajadi dan ejen pengikat akrilik menjadikan solid surface sangat kukuh. Tanpa kesan garisan joining seperti tiles, permukaan solid surface akan sentiasa nampak licin dan kemas.

Walaupun table top daripada batu artifisial ini mudah nampak kusam, menggunakan penggilap anda dapat menjadikan permukaan table top kembali bersinar. Bahkan jika ada sebarang kesan terbakar akibat periuk yang panas pun anda boleh menggosoknya supaya kesan tersebut hilang.

Solid surface juga datang dalam pelbagai variasi warna dan corak. Selain itu, harganya lebih murah jika dibandingkan dengan granit dan quartz stone.

Pro

  • Kukuh
  • Boleh digosok untuk mengembalikan permukaan yang asal

Kontra

  • Mudah kusam
  • Tidak tahan haba panas
  • Mudah calar

Stainless steel

table top dapur malaysia stainless steel
Kredit: Lucy Woods Architect

Nak dapur ada vibe industrial atau berangan nak beraksi ala-ala chef Gordon Ramsay di dapur? Table top stainless steel merupakan material yang digunakan di dapur-dapur komersil seperti dapur restoran atau hotel.

Material stainless steel ini kalis air dan kalis kotoran kerana tidak menyerap minyak. Selain itu, ia juga tidak mudah berkarat menjadikannya material yang tahan lama. Jika kusam, anda boleh menggosoknya kembali supaya nampak bersinar.

Pro

  • Kalis air
  • Mudah dibersibkan
  • Tidak mudah berkarat

Kontra

  • Mudah calar
  • Mudah kemek

Banyak kan sebenarnya pilihan untuk table top dapur rumah anda? Jadi tepuk dada tanya selera dan bajet, yang mana satu pilihan untuk dapur anda. Yang pasti, pemilihan table top dapur yang kukuh dan tahan lama akan membantu melancarkan kerja-kerja harian di dapur terutamanya buat surirumah.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down