Cara Kemas Dapur Agar Bersih, Cantik Dan Wangi

Langgan channel Telegram Giler Deco untuk trend deko terkini & informasi hiasan dalaman yang menarik.
Giler Deco

Menjaga kebersihan di rumah amatlah penting lebih-lebih lagi di dapur kerana dapur adalah tempat untuk kita menyediakan makanan dan tempat untuk makan. Dapur yang cantik sahaja tidak memadai sekiranya ia kotor dan berbau. Tentu anda sendiri tidak ada selera untuk duduk makan dan memasak di dapur. 

Jom lihat beberapa tips dan cara kemas dapur anda supaya bersih, cantik dan wangi.

1) Simpan rempah ratus pada rak di dalam kabinet

Salah satu cara kemas dapur adalah anda boleh memasang rak pada bahagian dalam pintu kabinet sekiranya terdapat banyak ruang kosong di dalamnya. Simpan dan susun kesemua rempah ratus di atas rak tersebut supaya senang untuk dicapai dan lebih tersusun.

cara kemas dapur
Kredit: Frank Farm

2) Sediakan rak di dalam peti sejuk menggunakan pemegang majalah

Cara kemas dapur yang lain adalah ambil beberapa buah pemegang majalah dan pusing ke bahagian sisi, susun secara bertindih supaya muat untuk meletakkan barang-barang lain. Boleh simpan makanan ‘frozen’, ayam, ikan, atau daging di dalam pemegang majalah itu.

Kredit: mommyoverwork.com

3) Label pada bekas makanan

Melabel pada bekas makanan amatlah membantu anda mengurus dapur anda. Anda boleh melekatkan label itu pada bahagian hadapan bekas. Tetapi sekiranya anda menyimpan bekas di dalam laci sebaiknya anda lekatkan label itu pada bahagian atas balang supaya dapat memudahkan urusan anda.

4) Sorok tong sampah di dalam kabinet

Untuk menghalang daripada dapur anda berbau, anda boleh sorokkan tong sampah di dalam tempat yang khas atau di dalam kabinet. Sekiranya anda ingin letakkan tong sampah di dalam kabinet, anda boleh tebuk dan buat lubang yang boleh tutup pada atas kabinet untuk buang sampah tanpa perlu buka pintu kabinet. Tapi, pastikan anda selalu membuang sampah tau, nanti tak pasal-pasal berulat pula dapur tu. 

Kredit: peterhendersonfurniture.co.uk

5) Sangkut penutup periuk menggunakan penyangkut tuala

Penutup kuali merupakan peralatan dapur yang susah untuk dikendalikan. Jika anda sering menggunakannya, anda perlu mencari ruang yang mudah dicapai. Anda boleh memasangkan penyangkut tuala pada dalam pintu kabinet untuk memegang penutup periuk. Dengan cara ini anda tidak akan menghadapi masalah mencari penutup periuk yang sesuai dengan periuk anda guna.

Store Pots and Pans Lids
Kredit: lifehack.com

6) DIY rak pantri untuk letakkan pada ruang kosong

Jika anda mempunyai ruang kosong antara peti sejuk dan dinding, anda boleh DIY satu rak menegak yang mempunyai roda dan satu pemegang pada rak tersebut. Anda boleh menyimpan barangan tin dan kotak. Ia akan nampak lebih kemas dan tersusun.

Kredit: rahayu12

7) Tambah pulau dapur pada ruang dapur anda

Pulau dapur adalah meja yang terletak di tengah-tengah dapur untuk memudahkan anda bergerak dalam rangka “segi tiga kerja”. Ia mempunyai banyak fungsi antaranya boleh dijadikan tempat untuk menyediakan makanan dan boleh juga jadikan tempat untuk berbual bersama keluarga.

Kredit: Dannis Parker

8) Guna bekas simpanan sudu dan garfu dalam laci

Untuk nampak dapur anda lebih kemas, sudu dan garfu boleh disimpan di dalam laci dan asingkan di dalam bekas simpanan supaya mudah untuk ambil. Pisau dan peralatan lain juga boleh disimpan di situ. Ia akan nampak lebih tersusun kerana ia mempunyai ‘partition’. 

Kredit: higham.co.uk

9) Guna batang penyangkut untuk sangkut botol semburan

Sekiranya anda mempunyai ruang tambahan dalam kabinet bawah sinki, anda boleh simpan dan susun botol semburan pada batang penyangkut. Barulah table top anda tidak bersepah dengan barang yang tidak perlu dan dapur akan nampak kemas.

Kredit: Family Handyman

10) Guna laci 'pull-out' di dalam peti sejuk

Maksimumkan ruang penyimpanan makanan di atas dan di bawah peti sejuk anda dengan menggunakan laci. Laci ini boleh tarik dan tolak, amat sesuai untuk menyimpan makanan kecil. Untuk lebih tersusun, asingkan bahan mengikut kategori dan labelkan.

11) Simpan bawang di dalam bakul pengukus buluh

Anda boleh menggunakan bakul pengukus buluh untuk menyimpan stok bawang merah, bawang putih dan bawang besar. Hal ini kerana, pengukus buluh mempunyai pengudaraan yang baik dan bawang anda akan tahan lebih lama. 

bamboo-storage-onions-garlic-shallots

12) Cara untuk wangikan dapur anda daripada berbau busuk

Anda cuma perlu letakkan dua penutup penuh ekstrak vanila ke dalam pinggan kalis ketuhar dan kemudian letakkan dalam ketuhar anda selama sejam pada suhu 300 darjah. Bau harum akan merangkumi dapur anda serta ruang lain. Anda juga boleh menggunakan essential oil seperti lemon.

Get rid of foul odors with essential oils

13) Cuci oven dengan menggunakan soda bikarbonat dan sedikit cuka

Anda hanya perlu campurkan soda bikarbonat dengan air dan biarkan ia menjadi pes. Sapukan pes ini pada permukaan oven dan biarkan selama 1 jam hingga 12 jam. Kemudian, semburkan sedikit cuka untuk lap oven tersebut. Bilas sehingga bersih.

Kredit: roxyonline.co.in

14) Cuci pisau atau peralatan yang berkarat menggunakan air jus lemon

Pisau akan mudah berkarat jika kita menggunakan mesin basuh pinggan mangkuk untuk membersihkannya. Jadi, anda tidak perlu risau. Hanya rendamkan pisau dan semua peralatan yang berkarat ke dalam air jus lemon. Biarkan selama beberapa minit, karat akan hilang.

Clean Knives Lemon Juice

15) Cuci papan pemotong kayu menggunakan lemon dan garam

Papan pemotong kayu tidak cukup bersih jika anda hanya membasuh dengan sabun dan membilas dengan air sahaja. Sekali sekala anda harus mencuci papan pemotong kayu dengan cara ‘scrub’ menggunakan garam dan lemon. Gosok lemon dengan garam dan perah sedikit pada papan, biarkan selama 5 minit kemudian bilas dengan air.

Kredit: thekitchn.com

16) Kurangkan bau yang tidak enak pada tong sampah

Cara untuk mengurangkan bau yang kurang enak disebabkan oleh sampah, anda boleh masukkan ‘baking soda’ pada bahagian bawah tong sampah sebelum memasukkan plastik sampah. ‘Baking soda’ merupakan bahan yang cukup baik untuk mencegah bau.

Kenapa Perlu Simpan Soda Bikarbonat Dalam Rumah? 12 Kegunaan Soda Bikarbonat  Yang Anda Perlu Tahu. Sila Cuba! - KELUARGA

17) Cara untuk buang minyak

Dengan membuang minyak masak pada saluran sinki, ia akan melekat pada permukaan paip dan menyebabkan paip dapur anda tersumbat. Jadi cara yang baik untuk buang minyak masak adalah dengan membekukan ia ke dalam peti sejuk kemudian baru boleh buang ke dalam tong sampah. Anda juga boleh menggunakan pengeras minyak masak, dengan memasukkannya ke dalam minyak kemudian buka api dan tunggu sehingga ia menjadi pepejal.

Kredit: Noor Hafiza Mohamad

18) Gunakan 'ziplock bag' untuk simpan sayur atau barang basah

Selalunya barang basah anda akan letak dalam bekas aiskrim tu kan? Apa kata anda tukarkan kepada ziplock bag, lagi mudah dan boleh jimatkan ruang dalam peti ais. Selain daripada barang basah seperti ayam, daging, dan ikan, anda juga boleh simpan sayur-sayuran. Peti akan nampak lebih kemas dan sayur anda akan tahan lebih lama.

Kredit: Ana Sulianna

19) Gantikan span basuh pinggan sebulan sekali

Anda perlu ganti span basuh pinggan sekurang-kurangnya sebulan sekali kerana ia akan menjadi tempat pembiakan kuman dan akan merebak ke pinggan yang dibasuh. Keadaan ini boleh menyebabkan penyakit.

Kredit: etsy.com

20) Cuci dan tukar kain lap

Pastikan kain lap dapur dibasuh setiap hari dan harus tukar sekurang-kurangnya sebulan sekali. Selain itu, pastikan juga kain lap tersebut sentiasa bersih dan kering sebelum anda guna supaya kuman dan bakteria tidak membiak.

Kredit: thekitchn.com

21) Sentiasa memeriksa bahan makanan di dalam peti sejuk

Anda harus kerap melakukan pemeriksaan dalam peti sejuk. Ramai yang selalu terlupa makanan yang disimpan dalam peti sejuk sehingga ada bau yang tidak enak di dalam peti sejuk. Anda juga perlu bersihkan peti sejuk sekurang-kurangnya sebulan sekali. 

Kredit: lublyou.com

22) Memeriksa ruangan simpanan kabinet

Pastikan anda memeriksa ruangan simpanan kabinet dan pastikan tidak bertakung air akibat dari kebocoran paip. Ruang simpanan yang basah atau lembap boleh menyebabkan kulat membiak pada barangan yang disimpan dan barangan tersebut akan mudah rosak.

before and after kitchen organizing
Kredit: modern-glam.com

Tips-tips ini adalah untuk membantu anda cara kemas dapur dan menaikkan lagi seri ruang dapur agar menjadi lebih bersih, cantik dan wangi. Anda juga akan lebih bersemangat untuk memasak di dapur. Lepas ini, tidak hairanlah kalau keluarga anda suka lepak di dapur. 

Semoga bermanfaat!

Baca Juga: Tips Susun Atur Dapur Supaya Sentiasa Kemas

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2022 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down