Jenis-Jenis Langsir & 5 Warna Yang Sesuai Untuk Ruang Tamu Rumah Anda

Langgan channel Telegram Giler Deco untuk trend deko terkini & informasi hiasan dalaman yang menarik.
Giler Deco

Langsir merupakan pelengkap hiasan di dalam rumah. Amat janggal sekiranya di rumah anda tiada langsir.

Langsir bukan sahaja dapat menambahkan seri rumah anda malah ia juga mempunyai fungsi yang lain. Antaranya adalah untuk privasi, melindungi daripada terkena cahaya matahari secara terus dan untuk menghalang bendasing masuk ke dalam rumah anda.

Terdapat banyak jenis langsir yang anda boleh pilih untuk padankan dengan ruang tamu. Sekiranya bajet anda rendah, anda masih boleh pilih langsir yang sesuai dengan bajet anda.

Jangan risau! Tak semua langsir mahal dan perlu beli di kedai. Anda juga boleh beli secara online dan boleh ukur sendiri dengan pita pengukur.

Di sini kami telah kumpulkan beberapa jenis langsir, opasiti langsir, material kain langsir, padanan warna langsir dengan warna dinding, panjang langsir, standard saiz langsir, dan cara ukur langsir.

Jom kita lihat!

Jenis-Jenis Langsir

a) Pinch Pleat

Jika anda ingin menggunakan gaya langsir yang tradisional, pinch pleat adalah pilihan yang terbaik. Kebiasaannya untuk langsir ini, ia dibuat daripada fabrik yang tebal dan berat. Lipatan dijahit pada bahagian atas dan membolehkan lipatan fabrik mengalir di bawah dan mencipta rupa yang elegan dan formal. Lebih banyak lipatan pada langsir akan memberikan penampilan yang lebih menarik.

Ruang yang sesuai digunakan: Bilik tidur atau ruang tamu

jenis langsir pinch pleat

b) Rod Pocket

Rod pocket adalah gaya yang popular di Malaysia. Kebiasaannya langsir ini diperbuat daripada fabrik ringan dan nipis. Oleh itu, ia nampak lebih kasual dan sangat mudah untuk dipasang.

Ruang yang sesuai digunakan: Sesuai untuk bilik yang tidak kerap membuka dan menutup langsir.

c) French Pleat

Langsir french pleat adalah langsir yang paling popular di Malaysia. Ia lebih kurang sama dengan pinch pleat. Sangat mudah untuk pasang dan tanggalkannya. Sesuai jika dipasang pada ruang tamu rumah anda. Nampak sangat bergaya dan simple.

d) Eyelet

Jika anda sukakan gaya kontemporari dan moden, anda boleh pilih langsir eyelet. Bentuk cincin pada langsir dimasukkan ke dalam rod kayu, besi, polos dan juga berkerawang. Ia lebih mudah untuk memasang atau menanggalkannya berbanding cangkuk besi. Ia juga sangat mudah untuk membuka dan menutup langsir.

Ruang yang sesuai digunakan

  • Bilik tidur
  • Ruang tamu
  • Tempat yang kerap anda buka dan tutup langsir
Tips

Pastikan anda menggunakan rod langsir yang menarik jika anda menggunakan langsir eyelet.

Nak tahu rahsia langsir eyelet nampak kemas? Anda boleh gunakan gelung tisu gulung atau insulation foam yang digunakan untuk aircond.

Untuk mengetahui caranya, jom tonton perkongsian video ini. (Kredit kepada video creator)

e) Tab Top

Langsir tab top mempunyai gelung yang tergantung pada rod. Ia berbeza dengan eyelet di mana ia tidak mempunyai cincin. Terdapat dua jenis iaitu ada yang boleh sarung terus pada rod dan ada juga mempunyai butang velcro yang senang untuk buka dan pasang. Harganya juga mampu milik. Ia sesuai jika anda ingin hias rumah bertemakan farmhouse atau cottage home.

Ruang yang sesuai digunakan:

  • Ruang tamu
  • Dapur

f) Pencil Pleat

Langsir Pencil Pleat sesuai dipasang pada ruang tamu. Ia mempunyai lipatan yang lebih nipus dan memudahkan kerja tidak kira dengan cangkuk atau rod langsir.

Ruang yang sesuai digunakan:

  • Ruang tamu
  • Bilik tidur

Opasiti Langsir

a) Sheer

Sheer adalah kain langsir yang sangat nipis dan separa lutsinar. Langsir ini memberikan paling banyak cahaya di dalam bilik pada siang hari. Namun, ia sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan tambahan pada langsir yang lain kerana ia kurang privasi. Sangat sesuai untuk diletakkan pada ruang tamu.

b) Semi-opaque

Langsir semi-opaque adalah gabungan antara langsir sheer dengan langsir blackout. Ia hanya membenarkan sedikit sahaja cahaya masuk ke dalam bilik pada siang hari apabila ia ditutup. Lebih privasi daripada langsir sheer. Langsir ini sangat popular dan boleh digabungkan dengan langsir sheer untuk meningkatkan kadar kelegapan.

c) Blackout

Langsir blackout membenarkan sedikit sahaja cahaya yang masuk ke dalam bilik apabila ia ditutup. Ia diperbuat daripada bahan yang lebih berat dan selalunya terdapat pelapik yang terbina di dalamnya. Ia sesuai untuk anda yang inginkan privasi dan sesuai untuk diletakkan pada ruang tamu yang mempunyai tingkap direct dengan cahaya matahari pada waktu siang.

Material Kain Langsir

a) Cotton

Cotton merupakan salah satu material kain langsir yang popular. Ia adalah semi-sheer yang boleh membenarkan banyak cahaya masuk ke dalam ruangan tersebut. Ia sesuai untuk dipasang pada mana-mana ruang. Sangat mudah untuk dibersihkan.

b) Linen

Material linen lagi berat berbanding material cotton, tetapi ia mudah untuk dikendalikan. Ia membenarkan tahap cahaya yang sederhana memasuki ruang tersebut. Material linen sedikit sukar untuk dibersihkan berbanding cotton. Ia mungkin bukan pilihan yang terbaik sekiranya persekitaran rumah anda mudah berdebu kerana tekstur linen yang kasar boleh bertindak sebagai magnet untuk habuk.

c) Velvet

Material velvet juga adalah salah satu material yang popular di Malaysia. Ia merupakan pilihan yang terbaik sekiranya anda inginkan privasi. Bahan pada material ini juga dapat mengurangkan bunyi daripada luar. Ia juga merupakan fabrik yang bagus untuk mencipta kesan yang lebih dramatik.

Tips

Material velvet sukar untuk dibersihkan, jadi anda haruslah membersihnya secara profesional. Boleh hantar ke dobi untuk mengelakkan risiko. 

d) Silk

Jika anda sukakan fabrik yang nampak mewah, anda boleh pilih material silk. Ia merupakan semi-sheer dan bergantung kepada ketebalan sutera itu untuk membiarkan cahaya masuk. Silk merupakan material yang popular dalam gaya langsir klasik dan juga kontemporari. Sukar untuk dibersihkan dan memerlukan bantual profesional untuk dibersihkan.

Info

Kebanyakkan langsir silk adalah material silk yang palsu. 

e) Lace

Jika anda inginkan ruang tingkap yang terang dan lapang, material silk adalah pilihan yang terbaik namun ia tidak mempunyai privasi. Ia paling popular pada ruang dapur, ruang tamu dan mana-mana sahaja ruang yang anda ingin masukkan banyak cahaya. Ia juga boleh dipadankan dengan fabrik yang lebih berat untuk menjadikan ruang tingkap anda lebih menarik.

Padanan Warna Langsir Dengan Warna Dinding Yang Sesuai

1) Warna Hijau

Warna hijau merupakan warna yang sejuk. Anda boleh padankan langsir hijau anda dengan warna yang lembut dan neutral.

Warna dinding yang sesuai:

  • Putih
  • Krim
  • Kelabu
  • Coklat
  • Kuning
  • Beige

2) Warna Biru (Navy)

Langsir biru (navy) sangat sesuai jika dipasang pada ruang tamu. Walaupun warnanya agak gelap, namun ia boleh jadikan ruang tamu anda kelihatan versatile dan sangat mudah untuk padankan denga warna neutral atau warna cat ruang tamu yang lebih sejuk.

Warna dinding yang sesuai:

  • Taupe
  • Putih
  • Biru muda
  • Kelabu

3) Warna Gold

Jika anda ingin memiliki ruang tamu yang mempunyai daya metalik yang lengkap, anda boleh pasangkan langsir warna gold pada dinding warna gold juga. Langsir gold gelap akan kelihatan lebih menakjubkan pada dinding gold terang dan membuatkan anda rasa seperti duduk di istana. Namun, anda juga boleh pasangkan langsir warna ini pada dinding yang lain.

Warna dinding yang sesuai:

4) Warna Kelabu

Warna kelabu adalah warna neutral dan hampir semua warna boleh dipadankan dengan langsir warna kelabu.

Warna dinding yang sesuai:

  • Taupe
  • Merah jambu muda
  • Kuning muda
  • Oren
  • Putih
  • Biru (navy)
  • Sage green

5) Warna krim

Warna krim merupakan warna yang sempurna untuk rumah anda pada musim sejuk. Ia akan menampilkan lapisan fabrik tambahan untuk melindungi daripada sebarang rasa sejuk dan pada masa yang sama ia mencipta suasana yang lebih hangat dan selesa.

Dinding yang sesuai:

  • Kelabu
  • Beige
  • Kuning
  • Biru (navy)

Panjang Langsir

Panjang langsir sangat penting untuk menentukan sesuatu gaya pada tingkap anda. Perlu diingatkan bahawa panjang langsir adalah tidak sama bagi setiap ruang.

Semasa mengukur panjang langsir, anda perlu mengambil kira ukuran langsir dari rod atau rail langsir hingga ke panjang yang anda mahu. Jom kita lihat panjang langsir yang sesuai untuk ruang tamu rumah anda.

a) Panjang langsir hampir mencecah lantai

Panjang langsir yang kurang satu inci daripada lantai adalah sesuai untuk tingkap yang panjang. Ia juga sesuai untuk tingkap yang kecil atau tingkap yang jarang dibuka untuk mencipta ilusi tingkap dari lantai ke siling.

b) Panjang langsir labuh ke lantai

Jika anda ingin mencipta ilusi tingkap yang dramatik dan romantis, lebihkan panjang langsir sebanyak 4 inci dari lantai. Gaya ini menjadikan ruang tamu anda nampak mewah dan glamor.

c) Panjang langsir sliding door

Panjang langsir yang sesuai untuk sliding door mestilah melebihi 4 inci daripada tinggi bingkai pintu tersebut.

Saiz Langsir Ready Made Yang Standard

a) Tingkap 1 panel

Jika anda mempunyai satu tingkap sahaja, langsir 1 panel amat sesuai untuk anda kerana ia tidak terlalu besar dan muat untuk menutupi satu tingkap tersebut. Ia juga boleh ditarik pada kedua-dua sisi dan boleh diikat ke belakang dan diletakkan pada sisi atau di tengah-tengah tingkap untuk mencipta gaya moden.

Saiz langsir standard untuk 1 panel: 100cm (lebar) x 260cm (tinggi) x 1 keping

b) Tingkap 2 panel

Anda boleh ikat langsir ini ke belakang untuk mencipta rupa simetri yang cantik pada tingkap anda.

Saiz langsir standard untuk 2 panel: 140cm (lebar) x 260cm (tinggi) x 2 keping

c) Tingkap 3 panel

Di Malaysia, ramai yang menggunakan tingkap 3 panel. Untuk tingkap 3 panel, anda boleh gunakan 2 keping langsir dan diikat pada kedua-dua sisi.

Saiz langsir standard untuk 3 panel: 200cm (lebar) x 260cm (tinggi) x 2 keping

d) Sliding door

Bagi sliding door pula, anda memerlukan 2 keping langsir dan boleh diikat pada kedua-dua sisi pintu sliding.

Saiz langsir standard untuk sliding door: 280cm (lebar) x 260cm (tinggi) x 2 keping

Cara Ukur Langsir

Untuk tingkap yang ada rail atau rod

Kredit: edaumairah

Ukuran lebar langsir = anak panah merah

Ukur tingkap dari kiri ke kanan dan pastikan ukuran sama panjang dengan rail atau rod.

Ukuran labuh langsir = anak panah kuning (ukur daripada rail sampai ke paras yang anda mahu)

**Labuh untuk rod kayu dan aluminium bergantung kepada anda

Nota tambahan: Jika anda inginkan langsir eyelet, kemungkinan ia memerlukan 2.5 kali kedut. Jadi, anda perlu darabkan dengan lebar yang anda dah ukur.

Untuk tingkap yang tiada rod atau rail

Ukuran lebar langsir = anak panah merah

Kebiasaannya, rod dan rail dipasang 3 inci lebih di kiri dan kanan tingkap.

Ukuran labuh langsir = anak panah kuning

**Labuh untuk rod bergantung kepada anda

Rod kebiasaannya dipasang lebih 8 inci daripada tinggi frame tingkap.

Manakala, rail aluminium dipasang lebih 6 inci daripada tinggi frame tingkap.

Nota tambahan: Jika anda inginkan langsir eyelet, kemungkinan ia memerlukan 2.5 kali kedut. Jadi, anda perlu darabkan dengan lebar yang anda dah ukur.

Di manakah saya boleh dapatkan langsir yang cantik dan terkini?

Jika anda lebih suka beli secara bersemuka, anda boleh dapatkan langsir yang cantik itu di Ikea atau Kaison.

Tapi, kalau anda terlalu sibuk dan susah nak keluar, boleh beli online je di Lazada dan Shopee.

Apa beza langsir bidang 60 dan bidang 110?

Bidang 60 bermaksud lebar kain langsir ialah 60 inci (dari kiri ke kanan). Manakala bidang 110 adalah tinggi kain langsir ialah 110 inci (dari atas ke bawah).

Jika anda ingin beli kain bidang 60, anda kena ikut tinggi langsir manakala jika anda ingin beli bidang 110, anda kena ikut lebar langsir.

Kalau anda tak pandai kira tak apa, kebiasaannya kedai kain boleh tolong kira.

Boleh ke cuci langsir dengan mesin basuh?

Secara amnya, langsir boleh dicuci dengan mesin basuh tetapi anda harus sentiasa beringat dan perhatikan label atau menyemak tetapan mesin basuh anda.

Anda haruslah setkan pada mesin basuh anda tetapan kitaran yang halus, gunakan air sejuk dan setkan putaran perlahan untuk pembersihan yang ringan. Namun, pengering harus dielakkan.

Kesimpulannya, terdapat banyak gaya dan jenis langsir yang anda boleh gayakan pada ruang tamu rumah anda. Pemilihan langsir juga amat penting kerana ia akan menggambarkan suasana ruang tamu rumah anda dan juga akan menaikkan seri rumah anda.

Semoga perkongsian Giler Deco kali ini dapat membantu anda membuat pilihan langsir yang sesuai dengan ruang tamu rumah anda.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2022 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down