5 Jenis Tingkap Rumah Yang Popular di Malaysia

16,360 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Tingkap rumah merupakan binaan asas dalam sesebuah rumah. Tingkap berfungsi untuk membenarkan cahaya matahari masuk ke dalam rumah dan memberikan pencahayaan semulajadi. Selain itu, tingkap juga memastikan pengudaraan di dalam rumah berada pada tahap yang optimum.

Pendek kata, kurangnya bilangan tingkap di rumah anda akan membuatkan rumah terasa suram dan anda akan mula lemas.

Jenis tingkap rumah yang ideal untuk seorang pemilik rumah, haruslah mempunyai ciri-ciri ekonomi, sesuai dengan design rumah dan selamat. Ia juga perlu mudah untuk diselenggara.

Memilih Jenis Tingkap Rumah

Adalah penting untuk anda menentukan apakah jenis dan keperluan tingkap untuk sesebuah ruang. Tingkap untuk bilik tidur anda tidak semestinya serupa dengan tingkap ruang tamu anda. Berikut merupakan jenis tingkap rumah yang popular di Malaysia:

Tingkap Jenis Casement

jenis tingkap casement

Kebanyakan rumah moden di Malaysia menggunakan tingkap jenis casement. Ia mempunyai engsel pada sisi bingkai tingkap dan dibuka ke luar. Ciri ini membolehkan rumah di Malaysia mendapat pengudaraan yang baik, selain kalis cuaca terutamanya ketika hari hujan.

Jenis tingkap rumah seperti ini juga sangat efisien untuk mengurangkan haba ketika waktu panas kerana tiada ruang untuk udara dari luar masuk jika ditutup dengan rapat. Maka, bil aircond anda lebih jimat!

Selain itu, faktor mudah dibersihkan juga menjadi sebab utama kenapa tingkap ini popular di Malaysia. Tingkap casement juga merupakan tingkap yang paling selamat kerana sukar untuk dibuka oleh penceroboh,

Ruang yang kecil biasanya memerlukan tingkap casement 2 panel, manakala untuk ruang yang lebih luas tingkap 3 panel menjadi pilihan.

Tingkap ini sesuai untuk ruang tamu, bilik tidur dan dapur. Selain itu, tingkap casement sangat mesra OKU kerana mudah untuk dibuka dan ditutup.

Tingkap Jenis Awning/Top Hung

jenis tingkap top hung

Tingkap awning biasanya digunakan di tandas atau di tempat yang tinggi. Ia dibuka ke luar dari bawah dan memberikan pengudaraan yang baik kepada ruang tersebut.

Bentuknya yang seakan-akan atap menjadikan hujan dan debu sukar untuk masuk ke dalam rumah.

Rata-rata rumah di Malaysia menggabungkan tingkap top hung ini dengan tingkap rumah jenis casement untuk pengudaraan dan kitaran haba yang baik.

Tingkap Sudut

Kredit: Engineering Learn

Jenis tingkap rumah yang seterusnya ini semakin mendapat tempat dalam rekabentuk rumah moden di Malaysia. 1 unit tingkap sudut merupakan gabung 2 bingkai pada sudut dinding rumah.

Tingkat ini sesuai jika anda sukakan pemandangan panorama di luar rumah, lagi-lagi jika anda memiliki landskap laman yang cantik. Dari aspek hiasan dalaman rumah, tingkap sudut juga menampakkan suasana yang gah dan mewah pada rumah tersebut. Secara ringkasnya, penggunaan tingkap sudut ini akan meningkatkan nilai estetika rumah anda dari luar dan dalam.

Tingkap Jalousie/Louvre

Tingkap rumah kampung dulu-dulu banyak menggunakan tingkap jalousie atau dalam bahasa kita, tingkap nako ini. Jalousie berasal dari perkataan Perancis yang bermaksud menahan dari pandangan. Bilahan cermin yang digunakan ini mampu melindungi individu yang berada di dalam rumah dari pandangan mata orang luar.

Selain itu, cermin yang diposisikan bersudut ini dapat melindungi rumah daripada hujan lebat, sesuai untuk cuaca di Malaysia yang panas dan hujan sepanjang tahun.

Tingkap Glass Block

jenis tingkap rumah glass block

Walaupun jarang ditemui, tetapi tingkap glass block ini pernah popular di Malaysia. Tingkap ini menggalakkan pencahayaan semulajadi menerangi ruang, tapi pada masa yang sama memelihara privasi pemilik rumah. Namun kita dengan adanya frosted glass, semakin kurang rumah yang menggunakan glass block sebagai tingkap.

Selain dipasang berhampiran pintu masuk, glass block adakalanya digunakan pada bilik mandi dan memberikan rasa mewah kepada ruang tersebut.

Tingkap Bay

tingkap bay

Kalau anda selalu menonton filem Barat, pasti anda akan terpegun melihat tingkap jenis bay ini. Maka tak hairanlah tingkap ini merupakan tingkap yang popular di kalangan penggemar English style. Tingkap ini dibina menggunakan sekurang-kurangnya 3 tingkap yang disambung secara bersudut.

Ia menghasilkan panorama yang menarik dan juga pencahayaan serta pengudaraan yang baik untuk sesebuah rumah. Pemilik rumah yang memiliki tingkap jenis bay ini biasanya memanfaatkan ruang ekstra tersebut sebagai tempat untuk bersantai atau memasang rak untuk menyimpan barang atau buku-buku mereka.

Memilih Material Tingkap Rumah

Aluminium

Aluminium merupakan material bingkai tingkap rumah yang mudah untuk dijaga. Tingkap aluminium tahan lama dan juga nipis, menjadikan rumah moden kelihatan menarik.

Kayu

Material bingkai tingkap yang paling popular kerana nilai estetiknya yang evergreen. Bingkai kayu merupakan pilihan yang paling kos efektif dan mudah untuk dipasang dan ditukar. Walau bagaimanapun, material kayu ini tidak tahan lama dan mudah rosak dimakan anai-anai.

Ketelitian dalam memilih jenis tingkap rumah sangat diperlukan apatah lagi jika kita mengambil kira faktor cuaca di Malaysia yang panas dan hujan sepanjang tahun. Anda juga perlu menentukan samada saiz tingkap yang dipilih sesuai dengan saiz rumah anda. Pastikan tingkap rumah anda tahan lama kerana tidak mudah sebenarnya untuk menukar tingkap yang baharu.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down