5 Panduan Untuk Memilih Lampu Chandelier Untuk Ruang Tamu

1,744 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Sebelum kita bercerita dengan lanjut mengenai cara-cara memilih lampu chandelier, apa kata kita ketahui dahulu apa itu sebenarnya lampu chandelier. Mesti ramai yang tahu kan lampu chandelier ini ialah lampu yang paling popular untuk diletakkan di kebanyakan rumah, terutamanya di ruang tamu dan bilik tidur.

Lampu chandelier merupakan sebuah lampu hiasan gantung yang mempunyai beberapa cabang. Berasal dari perkataan Perancis iaitu candere yang bermaksud putih dan berkilau. Lampu ini memantulkan cahaya yang membuatnya kelihatan berkilauan. 

Kebiasaannya, lampu chandelier menggunakan lampu pijar. Namun ada juga lampu chandelier yang moden pada hari ini menggunakan lampu pendafluor dan juga LED.

Terdapat 3 jenis gaya yang popular untuk lampu chandelier iaitu klasik, kontemporari dan juga moden.

Chandelier klasik

  • Mempunyai prisma kristal tergantung untuk menerangi ruangan cahaya yang dipantulkan. Gaya ini sesuai untuk pemilik rumah yang inginkan suasana yang nampak mewah lagi majestik untuk ruang tamu mereka.
Lampu Chandelier

Chandelier Kontemporari

  • Mempunyai rekabentuk yang minimalis. Ia tidak mengandungi prisma seperti mana lampu chandelier klasik dan cahaya yang dihasilkan akan menerangi bilik secara langsung dari lampu, tanpa dipantulkan seperti chandelier klasik.
Lampu Chandelier

Chandelier Moden

  • Mempunyai rekabentuk yang sesuai dengan citarasa masa kini dan menggunakan lampu LED. Rekabentuknya adalah gabungan di antara rekabentuk klasik dan kontemporari. Ada sesetengah chandelier moden mempunyai prisma dan ada juga yang  tidak.

Jenis-Jenis Chandelier Untuk Ruang Tamu Rumah Anda

  • Glass Chandelier
  • Crystal Chandelier
  • Beaded Chandelier
  • Capiz Chandelier
  • Metal Chandelier
  • Candle Style Chandelier
  • Chandelier Mission

Panduan Untuk Memilih Lampu Chandelier Untuk Ruang Tamu Rumah Anda

Kehadiran lampu chandelier pada ruang tamu rumah anda pasti menciptakan suasana yang indah dan menambahkan keselesaan untuk anda mendiami ruang tersebut. Terdapat beberapa faktor penting yang harus anda ambil kira sebelum memilih lampu chandelier idaman anda.

Di sini kami senaraikan beberapa kriteria sebagai panduan untuk membantu anda memilih lampu chandelier yang sesuai untuk ruang anda.

Panduan 1 : Tentukan Saiz Ruang Tamu atau Bilik Anda

Sebelum membeli lampu chandelier, pastikan anda dah mendapatkan ukuran saiz bilik anda. Langkah ini sangat penting supaya anda dapat menganggarkan samada chandelier bersaiz kecil atau besar lebih sesuai untuk bilik anda. 

Jika anda tersalah pilih lampu yang bersaiz kecil sedangkan bilik anda mempunyai ruang yang sangat besar, lampu chandelier anda tidak akan nampak menonjol. Sebaliknya, jika anda membeli lampu bersaiz besar untuk ruang yang kecil, ruang tersebut akan nampak sesak lagi-lagi jika ia sarat dengan perabot dan aksesori lain.

Kami ada formula yang ringkas untuk anda menganggarkan saiz lampu chandelier yang sesuai untuk rumah anda.

Tinggi : 2.5-3 inci untuk setiap 1 kaki ketinggian ruang tamu anda ke siling.

Contoh, jika siling ruang tamu anda ialah 8 kaki, tinggi chandelier yang sesuai ialah 24 inci.

Diameter : Panjang ruang tamu (dalam kaki) + Lebar ruang tamu (dalam kaki) = Diameter lampu chandelier (dalam inci).

Contoh, jika ruang tamu anda berukuran 14’ x 10’, diameter lampu yang sesuai ialah 24”.

Lampu Chandelier

Panduan 2 : Jarak Di Antara Siling dan Juga Permukaan Lantai

Lampu chandelier yang digantung terlalu rendah akan mengganggu pergerakan ahli rumah. Sebaliknya, lampu yang digantung terlalu tinggi pula akan menyebabkan pencahayaan menjadi suram.

Jika anda mempunyai siling dalam 8 kaki, lampu chandelier harus dibiarkan tergantung dalam jarak 7 kaki dari permukaan lantai. Untuk siling yang lebih tinggi pula, anda boleh menggantung chandelier tersebut dengan tambahan tiga inci untuk setiap kaki tambahan. 

Namun, jika siling anda mempunyai tinggi sebanyak 9 kaki atau lebih, eloklah membeli sebuah chandelier dua tingkat agar ruang tidak kelihatan sangat kosong.

Panduan 3 : Mempertimbangkan Jumlah Pencahayaan

Ingat, tujuan anda memasang lampu chandelier adalah untuk memberikan jumlah cahaya yang mencukupi pada ruangan yang dipilih. Tanpa pencahayaan yang cukup, ruang akan nampak suram dan tidak berseri. Jadi, anda seharusnya mencari sebuah lampu chandelier yang menawarkan pencahayaan yang sangat mencukupi dan tidak lebih agar ia tidak mengganggu suasana ruang tersebut.

 Namun begitu, anda tidak seharusnya bergantung kepada lampu chandelier sebagai pencahayaan primer kerana konsep asal lampu chandelier ini ialah sebagai lampu hiasan.

Lampu Chandelier

Panduan 4 : Rancang Konsep Deko Ruang Tamu Agar Sesuai Dengan Lampu

Anda memasang lampu chandelier untuk pencahayaan, hiasan dan juga menaikkan kecantikan pada ruang tersebut. Jadi, snda juga mesti mempertimbangkan kemasan dan juga aksesori yang sesuai untuk dipadankan pada ruang rumah.

1. Chandelier Kristal

Paling banyak ditemui di pasaran dan sudah semestinya menjadi pilihan ramai pemilik rumah. Ruang tamu akan terus nampak elegan sejurus sahaja anda memasang lampu kristal ini, pasti menjadi topik perbualan tetamu yang bertandang.

Walaupun lampu chandelier kristal ini nampak macam tak tahan lama, tapi anda silap. Kristal sebenarnya sangat tahan haba. Ya ia juga sangat mudah memerangkap habuk, namun sangat senang dicuci jika anda tahu caranya.

Lampu yang wajib ada jika anda merancang untuk menghias ruang tamu anda dengan tema klasik.

Lampu Chandelier

Stail yang sesuai dengan chandelier kristal

Tradisional

Gaya yang selalu menjadi penghias muka depan majalah-majalah hiasan dalaman. Kehadiran chandelier kristal di ruang tamu anda akan menjadikan ia nampak teratur dan tenang. Gunakan perabot yang selari dengan tema dekorasi anda, klasik dan konsisten. Kurangkan penggunaan aksesori fabrik yang mempunyai corak bunga-bunga atau material yang bersinar supaya kecantikan lampu chandelier anda tidak tenggelam. Cat dinding ruang tamu anda dengan warna-warna yang standard dan neutral. Pastikan warna dinding anda bertona cerah, manakala untuk lantai atau aksesori anda boleh gunakan warna yang bertona gelap.

Mid-century Modern

Gaya mid-century modern ini lebih menekankan minimalism di tengah-tengah pertembungan antara konsep tradisional dan non-tradisional. Pemilik rumah yang memilih gaya ini lebih mementingkan fungsi ruang dan gemarkan dekorasi yang ringkas.

Gabungan stail tradisional dan non-tradisional ini memberikan anda banyak pilihan semasa mendekorasi. Anda boleh cuba mix and match aksesori dan perabot dari pelbagai material samada berasaskan alam semulajadi dan sintetik dengan chandelier kristal anda.

2. Chandelier LED

Lampu LED semakin mendapat tempat di kalangan pemilik rumah kerana tahan lama, menjimatkan kos dan lebih selamat. Untuk anda yang gemarkan gaya moden, lampu chandelier LED adalah pilihan terbaik. Ia didatangkan dalam pelbagai bentuk, sekaligus memberikan keunikan kepada hiasan ruang tamu anda.

Stail yang sesuai dengan chandelier LED

Kontemporari

Gaya kontemporari bermaksud stail yang selari dengan trend terkini. Untuk tahun-tahun kebelakangan ini, ramai pemilik rumah di Malaysia beralih kepada gaya dekorasi yang minimalis dan tidak sarat.

Chandelier LED yang bergaya kontemporari akan menjadi titik tumpu utama untuk ruang tamu yang bergaya ringkas. Ianya menghidupkan suasana ruang agar tidak terasa kosong. Barang-barang deko yang berasaskan besi dan kayu serta aksesori vintage akan menjadi pelengkap kepada chandelier LED yang anda pilih.

Untuk bahagian dinding, penggunaan accent wall berwarna samada gelap atau terang atau perabot yang unik menonjolkan citarasa pemilik rumah. Perabot stainless steel yang disadur dengan nikel atau krom sangat sesuai dipadankan dengan lampu chandelier pilihan anda.

3. Chandelier Bingkai Kayu

Penat dengan kesibukan kerja membuatkan kita jauh dari alam semulajadi. Dengan memasukkan elemen alam dalam dekorasi anda sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit keseimbangan dalam hidup anda. 

Penggunaan chandelier berasaskan kayu seperti rotan dan buluh dapat mewujudkan rasa ketenangan untuk pemilik rumah. Ramai yang khuatir untuk menggunakan elemen kayu seperti ini kerana ia memerlukan penjagaan yang teliti. Namun jika diberi perhatian, chandelier kayu ini pasti akan tahan lebih lama.

Stail yang sesuai dengan chandelier kayu

Tropika

Kadangkala kita mendambakan percutian di hutan untuk melepaskan lelah namun tidak dapat berbuat sedemikian kerana kesuntukan masa. Jadikan rumah anda selesa, wujudkan percutian di rumah sendiri. 

Chandelier berbingkai rotan akan mewujudkan suasana yang alami di ruang tamu anda. Padanan dinding berwarna neutral dengan aksesori bertemakan alam mampu menjadikan ruang tamu anda selesa untuk didiami. Perabot berona putih, krim atau warna-warna alam sesuai untuk diletakkan di ruang ini. Tambahan pula, kehadiran pokok skybird dan fabrik bermotifkan daun pisang atau nenas akan menghidupkan suasana tropika.

Farmhouse

Chandelier kayu juga sesuai untuk anda yang memilih konsep farmhouse untuk ruang tamu anda. Perabot daripada kayu, kusyen sofa fabrik berpaten, dinding shiplap, dinding berwarna neutral akan melengkapkan suasana farmhouse yang menenangkan.

Panduan 5 : Mengukur Saiz Meja Makan

Selepas anda mengukur saiz ruang tamu, anda juga perlu mengukur saiz meja makan anda. Jika di bahagian ruang tamu anda mempunyai meja makan, anda kena ikuti panduan ini. Langkah yang pertama ialah anda kena dapatkan lebar meja makan anda. Lebar lampu chandelier tidak boleh melebihi lebar meja makan anda. Mengikut peraturan, meja makan anda haruslah mempunyai lebar 12 inci lebih daripada diameter lampu chandelier anda.

Semoga dengan 5 panduan di atas, anda akan menemukan anda dengan lampu chandelier yang mampu menghidupkan suasana lampu rumah anda.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down