Panduan Lampu Ruang Tamu Yang Lengkap

2,374 views
Langgan channel Telegram Giler Deco untuk trend deko terkini & informasi hiasan dalaman yang menarik.
Giler Deco

Sofa, langsir, meja kopi dan aksesori merupakan senarai barang yang kita fikir wajib ada untuk ruang tamu yang cantik. Namun, seringkali kita terlupa kepada asas penting dalam dekorasi ruang iaitu pencahayaan. Jika anda mahukan ruang tamu yang nampak cantik dan selesa untuk didiami, berikan perhatian kepada lampu ruang tamu anda.

Sebagai ruang yang menjadi titik tumpu dalam sesebuah rumah, sudah tentu kita memerlukan cahaya yang cukup terang untuk ruang ini sesuai dengan fungsinya sebagai tempat melepak dengan keluarga tersayang, ruang untuk kita berehat selepas penat bekerja dan juga tempat untuk melayan tetamu.

Di sini, kami bawakan panduan lengkap agar pencahayaan ruang tamu anda betul-betul menghidupkan suasana bukan mematikan mood!

Pertama, Anda Harus Menyenaraikan Fungsi Lampu Ruang Tamu Anda

Banyak aktiviti peribadi atau keluarga dilakukan di ruang tamu dan ia bergantung kepada cara hidup anda. Anda harus membahagikan ruang tamu anda kepada beberapa bahagian mengikut fungsi yang telah anda senaraikan.

  • Di manakah kedudukan yang memerlukan cahaya yang banyak?
  • Adakah anda memerlukan cahaya terang tetapi berfokus pada satu sudut sahaja?
  • Atau cahaya yang terang untuk segenap ruang?

Pencahayaan terang dari lampu utama akan menghidupkan suasana atau mood, iaitu dikenali sebagai pencahayaan ambien. Cahaya berfokus dan terang untuk sudut tertentu seperti ruang membaca memerlukan pencahayaan kerja (task lighting). Manakala menggunakan lampu hiasan untuk menerangi lukisan atau tertumpu pada perabot merupakan pencahayaan accent (accent lighting).

Kemudian, Senaraikan Jenis Lampu Yang Sesuai

Setiap lampu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri untuk memberi penyelesaian kepada  setiap masalah pencahayaan. Rekabentuk lampu itu sendiri akan menentukan fungsinya, contohnya:

  • Lampu Siling : Biasanya digantung dari siling mengikut graviti atau dipasang terus pada siling menjadikan cahaya diagihkan ke segenap ruang.
Lampu Ruang Tamu
Lampu Siling
  • Lampu Lantai : Lampu berdiri atau lampu yang mentolnya menghadap ke atas melawan graviti, cahaya yang dihasilkan adalah diagihkan kepada sudut yang terhad.
Lampu Lantai
  • Lampu Meja : Biasanya diletakkan di atas atau pada perabot, cahaya yang dihasilkan adalah sangat tertumpu.
Lampu Meja

Seterusnya, Anda Perlu Merancang Lampu Ruang Tamu Anda

Untuk mendapatkan pencahayaan yang terbaik di ruang tamu anda, anda perlu meneliti senarai di bawah ini:

  • Jumlah mentol dan jumlah cahaya yang dihasilkan (dalam unit watt atau lumen)
  • Jarak dari mentol mentol ke objek, permukaan atau orang mempengaruhi seberapa banyak cahaya akan sampai kepada subjek
  • Pantulan cahaya oleh objek atau permukaan yang ada di ruang tamu. Permukaan yang gelap akan menyerap cahaya manakala dinding yang cerah akan memantulkan cahaya.
  • Jenis mentol, warna dan suhu yang terhasil. Mentol kuning memberikan rasa sejuk, manakala lebih banyak haba dihasilkan oleh mentol putih dan biru.
  • Berapa banyakkah cahaya yang terhalang oleh pelindung atau terendak lampu?
  • Bentuk atau arah cahaya yang dihasilkan oleh lampu - selalunya bergantuk kepada rekabentuk terendak lampu tersebut
  • Jumlah cahaya matahari yang menerangi bilik tersebut - adakah ada perabot yang menghalang pencahayaan semulajadi?
  • Jenis pantulan atau bayang-bayang yang dihasilkan pada dinding, siling.
  • Warna dan kelegapan terendak lampu mempengaruhi jumlah cahaya yang ditapis
  • Adakah lampu tersebut sememangnya direka sebagai hiasan sahaja kerana lampu hiasan biasanya mempunyai nilai watt dan tahap kecerahan yang rendah.

5 Tips Pemilihan Lampu Ruang Tamu 

  1. Ciptakan suasana dengan penggunaan cahaya ambien (ambient light)
  2. Memilih 3 tahap pencahayaan : Tinggi, sederhana dan rendah
  3. Merancang titik fokus ruang menggunakan lampu pendant dan lampu chandelier
  4. Terlalu banyak pencahayaan bukanlah sesuatu yang baik
  5. Manfaatkan penggunaan lampu meja dan lampu lantai
Lampu Ruang Tamu

Ciptakan Suasana Dengan Penggunaan “Ambient Light”

Pencahayaan ambien atau pencahayaan umum, sangatlah penting kerana cahaya ambien memantulkan cahaya tidak langsung dari siling. Pemilihan pencahayaan ambien yang betul akan memberikan rasa rileks dan selesa kepada pemilik rumah.

Terdapat banyak cara untuk menciptakan cahaya ambien untuk ruang tamu anda. 

Antaranya ialah cove lighting iaitu konsep di mana cahaya dipantulkan daripada lampu yang disorokkan pada siling atau bahagian atas dinding/kabinet.

Lampu jenis sconce juga menjadi pilihan pereka bentuk dalaman untuk memberikan suasana yang selesa dan tenang kerana cahayanya dipancarkan ke atas.

Lampu Ruang Tamu

Memilih 3 Tahap Pencahayaan : Tinggi, Sederhana dan Rendah

3 tahap pencahayaan ini sangat penting untuk memberikan efek yang wow di ruang tamu anda. 

Pencahayaan tahap tinggi adalah wajib untuk ruang tamu lebih-lebih lagi jika anda menggunakan kayu atau plaster di dinding, siling atau lantai. Cahaya tahap pertengahan biasanya sebagai lampu dinding, manakala lampu lantai atau lampu meja memerlukan tahap pencahayaan yang rendah.

Contoh:

Anda boleh menggunakan lampu yang menghadap ke atas (up-lights) untuk memberikan mood kepada ruang tersebut. Lampu downlight atau recessed light pula digunakan untuk menerangi permukaan meja atau hasil seni untuk memberikan efek yang menarik.

Lampu sconce pula dipasang pada dinding untuk memberikan highlight kepada aksesori lain terutamanya dari material kaca, besi atau fabrik.

Mencipta titik fokus menggunakan lampu chandelier atau lampu loket

Tak ada siapa yang tidak terpegun melihat keindahan lampu chandelier. Pastinya kehadiran lampu jenis ini akan menarik perhatian sesiapa saja saat mereka melangkah ke dalam rumah anda. 

Selain lampu chandelier, lampu loket (lampu pendant) juga semakin menjadi trend di Malaysia terutamanya pemilik rumah yang cenderung untuk memilih dekorasi berkonsep moden untuk ruang tamu mereka.

Oleh itu, jika anda tidak tahu dari mana nak bermula semasa memilih lampu ruang tamu anda, mulakan dengan memilih lampu chandelier/pendant kemudian barulah anda fikirkan tentang pencahayaan yang lain. Designer pun menggunakan taktik ini tau!

Lampu Ruang Tamu
Lampu Loket (Pendant)

Manfaatkan penggunaan lampu meja dan lampu lantai

Penggunaan lampu lantai dan lampu meja akan mencipta lapisan pencahayaan di kawasan sekitar tempat duduk anda. 

Ia juga berfungsi untuk menambah bentuk dan fungsi untuk bilik. Dari perspektif reka bentuk pula, lampu meja dan lampu lantai dapat meningkatkan visual yang memberikan anda kebebasan untuk bermain dengan skala pencahayaan, kontras dan juga warna.

Awas, jangan terlebih pencahayaan

Terlalu over dalam menata pencahayaan ruang tamu merupakan kesalahan yang sering pemilik rumah lakukan untuk ruang tamu mereka.

Terlalu banyak cahaya boleh membunuh suasana ruang tamu anda. Anda harus mencari titik tengah agar pencahayaan yang anda pilih cukup untuk menerangi ruang tamu anda dan pada masa yang sama membuatkan ahli rumah dan juga tetamu berasa selesa semasa menggunakan ruang tersebut.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2022 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down