Projek Ubahsuai Rumah Teres Dengan Konsep Sedap Mata Memandang

2,220 views
Langgan channel Telegram Giler Deco untuk trend deko terkini & informasi hiasan dalaman yang menarik.
Giler Deco

Sebagai pemilik rumah, sudah semestinya anda mahukan keadaan yang kemas dan menarik. Walaupun ianya tidak begitu mewah, tetapi, jika ianya dideko dengan konsep yang simple dan kemas sudah mampu menjadikan kediaman anda kelihatan ceria. Itu yang dilakukan oleh pemilik rumah ini yang bernama Ana Ahmad. Beliau telah melakukan projek ubahsuai rumah teres dengan konsep sedap mata memandang.

Tanpa berlengah lagi, jom ikuti perkongsian projek ubahsuai rumah teres menarik ini.

Projek Ubahsuai Rumah Teres

Ini deko cara saya. Projek laki bini projek ubahsuai rumah teres bila ada masa. Asalkan selesa & sedap mata sendiri memandang. Maaf kalau ada yg tak berkenan. Citarasa kita mungkin tak sama. Berkongsi untuk cari idea dan bagi idea.

Alhamdulillah diberi rezeki Allah untuk membeli rumah sendiri pada usia 25 tahun,(rumah siap pembinaan 5 tahun kemudian. Mula duduk tahun 2010) dan sekarang sudah 11 tahun usia rumah ini. Disebabkan sudah menetap lama, kita hasilkan projek ubahsuai rumah teres ini supaya kemas dan cantik. Lagi 14 tahun settle loan.

Rumah saya ini raya ke tak, macam ini sajalah susunannya. Malas nak ubah-ubah, penat!

Saya suka warna merah, coklat/hitam, gold dan cream. Saya sejenis yang tak suka apa-apa jenis gubahan bunga, gantungan berjuntai dan berjurai, hiasan-hiasan kecil dan karpet besar. Sebab? Saya malas. dan tema deko saya adalah “Saya Malas”.

Dimulai dengan laman rumah. Rumah ini teres setingkat sahaja. Porch pun sempit. Park kereta pun berhimpit-himpit, betul-betul muat 3 kereta. Ruang yang sejemput itu beliau letakkan teres, rak kasut bangku dan almari plastik sebagai mini stor. Tak banyak pun nak dihias dekat luar rumah ini. Sebab? Beliau malas.

Projek Ubahsuai Rumah Teres

Rak kasut bangku dan teres itu beliau beli dari Shopee. Rak kasut itu, kalau nak beli, beli la yang panjang 4 kaki keatas. Yang digunakan ini 3 kaki sahaja.

Banyak lagi perkongsian projek ubahsuai rumah teres yang beliau ingin kongsikan. Boleh teruskan membaca dibawah ini ya.

Untuk ruang tamu memanjang (beliau renovate) di bahagi kepada 3 port. 1 port depan pintu masuk, beliau letakkan kerusi kayu khas untuk kaum bapa mengopi dan mengeteh.

Dinding ini terpaksa buat shiplap pasal dinding asal menyakitkan mata dan hati. Tukang buat tak rata berlopak dan lekuk. Jadi, kita tutup dengan shiplap, baru rasa tenang jiwa.

Bench ini bukan bench saja-saja. Ini peti musang berjanggut. Ada macam-macam harta karun dalam bench ini. Beliau beli bench yang ada ruang simpanan (storage bench), mudah untuk beliau sorokkan apa-apa yang bersepah kalau tiba-tiba tetamu sampai.

ubahsuai rumah sederhana

Belakang pintu(kanan) beliau letakkan cermin OOTD, dengan Motion Detect Lamp dekat atas cermin. Sebelahnya tempat sangkut kunci. Mudah untuk beliau cermin diri sebelum keluar rumah pagi-pagi, sambil capai kunci.

ubahsuai rumah sederhana

Ada yang tanya kod cat ini. Ceritanya, cat ini beliau beli 1 tong besar 10 liter untuk cat bilik beliau dekat kampung. Bakinya beliau bawa balik untuk cat rumah pulak.

Cat ini beliau beli 5 tahun lepas. Jenama Easypaint. Nama dia pun beliau sudah lupa. Baru-baru ini beliau ke kedai Easypaint, cari-cari tak jumpa pun warna ini sampai kesudah. Resit beli pun sudah lama buang. Kepada yang tanya, tak ada jawapan nak bagi.

Port ke-2 di tengah rumah dengan sofa untuk kaum ibu membawang dan Port ke-3 untuk anak-anak layan kartun di tv tanpa mengganggu aktiviti ibu-bapa mereka. Dekat sini beliau akan letak karpet bila ada tetamu. Bukan biar karpet 24 jam dekat situ. Sebab? Beliau malas.

Sofa ini lagi tua dari umur rumah. Beliau beli masa rumah belum dapat kunci (2009). Baru sekali tukar kulit sebab kulit lama habis kena cakar dek kerana si bulus. Nak beli baru memang tak la. Elok lagi ni. Nak hampar-hampar alas. Maaf, sebab? Beliau malas.

Ruang antara ruang tamu dan dapur buat sliding door (kiri) sejak 2014. Segala bau tumisan tersekat disitu sahaja dan privasi untuk beliau bersilat dekat dapur kalau ada tetamu datang.

Kebanyakkan perabut beliau seusia rumah ini. Kecuali hifi Sony kesayangan beliau itu. Beliau beli lepas 3 bulan mula kerja (2002) Soundnya sangat kuat.

Beliau cukup menggemari perabut diatur biar ruang nampak luas, lantai berkilat, hiasan minima dengan pokok-pokok hidup (indoor plant dalam self-watering pot yang jenis dedaun sahaja sebab beliau tak suka bunga.

Tak ada hamparan, hiasan kecil dan yang penting mudah untuk beliau menyapu, mengemas, lap habuk dan mop dalam masa yang singkat. Sebab? Beliau malas. 

Depan tv memang sengaja biar kosong. Senang orang nak tengok tv sambil guling-guling. Apabila ada tamu, baru beliau bentang karpet. Kalau tak ada, macam inilah rupanya, senang untuk beliau nak sapu atau mop. Sebab? Beliau malas.

Untuk mendapatkan feeling makan di restoren, ruang makan itu, suami buat ala-ala restoren. Bagi romantik sikit, kot-kot teringin nak candle light dinner kalau blackout. Sama juga macam ruang lain, tak ada hiasan meja, guna tudung saji viral untuk simpan lauk dan yang penting mudah untuk beliau kemas, lap dan bersihkan lepas makan. Sebab? Beliau malas.

Untuk bilik tidur pula, guna cadar patchwork sahaja. Beliau tak suka ropol-ropol sebab rimas. Lagipun senang dan cepat nak mengemas pagi-pagi. Sebab? Beliau malas.

Bilik tengah beliau jadikan bilik baju. Tempat untuk iron baju. Bilik ini juga tempat suami solat dan ada waktu jadi gym dia. Dalam almari beliau simpan bantal, selimut, cadar, baju-baju yang jarang pakai.

Untuk pakaian harian, beliau gantung hanger je semua. Mudah ambil dan pakai. Baju-baju terutama baju kerja & baju harian memang beliau tak akan lipat. Sebab? Beliau malas.

Pada bahagian dapur pula. Ia dibahagikan kepada 2 ruang iaitu stok makanan dan memasak. Ruang stok makanan ada 2 peti sejuk. Yang besar untuk stok fresh, yang kecil itu untuk stok kering sebab peti itu sudah rosak. Nak buang sayang, maka, beliau jadikan dia mini tesco.

Ruang laundry beliau tidak begitu luas. Cukup-cukup untuk 2 mesin basuh, bakul kain dan rak sabun. Tak adalah beria sangat nak mendeko dekat sini. Sorang masuk pun penuh.

Sebenarnya, ruang ini adalah ruang tambahan sahaja. Sudah habis tanah belakang rumah beliau renovate. Dekat sini jugalah beliau letak gantung dan simpan segala alat membersih rumah. Gunakan segala ruang yang ada, tak ada apa-apa hiasan. Sebab? Beliau malas. Inilah hasil laundry projek ubahsuai rumah teres ini.

Itu sahaja perkongsian mengenai projek ubahsuai rumah teres pada kali ini. Semoga bermanfaat.

Adakah perkongsian ini bermanfaat? Untuk save post, klik LOVE & simpan di profil anda untuk rujukan masa hadapan.
Diterbitkan pada
April 16, 2022
Dikemaskini pada
April 16, 2022

Deko Raya 
Bersama Giler Deco

Raya tahun ni pasti meriah tanpa PKP. Pastikan rumah anda tip top dengan inspirasi deko rumah sempena raya di Giler Deco
Dapatkan Inspirasi Raya Anda

Anda Mungkin Juga Berminat

Logo Giler Deco
© 2022 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down