10 Tips Beli Karpet : Apa Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Membeli Karpet

4,958 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Rumah tidak akan sempurna tanpa adanya karpet di lantai rumah anda. Permaidani berfungsi sebagai deko pada bahagian lantai yang dapat membuatkan hiasan dalaman rumah atau bilik lebih ceria.

Gambar dari Wescover

Selain mencantikkan ruang, penggunaan karpet di rumah memberikan beberapa kelebihan lain seperti:

  • Memberikan kehangatan dan keselesaan.
  • Menambah baik kualiti udara dalam rumah.
  • Menyerap bunyi.
  • Mudah untuk dijaga dan dicuci.

Tips Beli Karpet

Terdapat beberapa faktor yang perlu anda fikirkan sebelum anda membeli karpet dan permaidani. Di antaranya:

Gaya Karpet/Permaidani

Pemilihan karpet biasanya mengikut konsep dan tona warna yang sesuai bagi memastikan kawasan yang dihias itu kelihatan menarik. Untuk menghidupkan suasana sesebuah ruang, pilihan karpet juga perlu mengikut konsep dan warna perabot, pencahayaan atau gaya bilik.

Sebelum memilih karpet, fikirkan terlebih dahulu mengenai suasana dan konsep yang ingin ditimbulkan di dalam ruang tamu mahupun bilik anda. Harus diingatkan, warna permaidani tidak perlu sama dengan warna rumah atau bilik. Tetapi, ia harus sesuai dengan tekstur dan tona perabot di rumah anda.

Antara gaya yang popular ialah karpet stail Nordic/Scadinavian, Bohemian dan Turki.

Warna

Warna adalah satu elemen penting sewaktu pemilihan karpet. Hal ini kerana, warna karpet akan menentukan suasana ruang anda samada terang dan ceria atau suram tetapi tenang.

Jika kawasan tersebut sudah ada perabot, pertimbangkan penggunaan warna yang berbeza. Bilik yang dihiasi dengan aksesori atau perabot bercorak dan warna yang banyak sesuai dipadankan dengan karpet yang mempunyai tona warna neutral atau satu warna sahaja.

Untuk padanan warna karpet yang sesuai dengan dinding, pastikan anda membaca post Tips Memilih Warna Karpet Agar Harmoni Dengan Cat Dinding.

Corak Permaidani/Karpet

Tidak semua orang tahu tentang penggunaan corak karpet yang sesuai untuk dipadankan sekiranya perabot dan dinding yang mempunyai warna agak solid. Jadi, bagi menimbulkan suasana bilik yang menarik, ia memerlukan corak permaidani yang sesuai.

Jika mempunyai perabot bercorak, permaidani tanpa corak atau solid dapat menimbulkan suasana yang harmoni.

Saiz Karpet

Salah satu kesilapan dalam menghias bilik adalah dengan membeli karpet/permaidani yang terlalu kecil. Untuk kebanyakan bilik yang bersaiz sederhana, ia memerlukan kira-kira 10-20 inci ruang lantai kosong dari dinding bilik.

Selain itu, ia juga bergantung kepada saiz keluasan bilik. Walau bagaimanapun, pastikan permaidani berada di tengah kawasan bilik dan jarak di antara permaidani dan dinding adalah sama di setiap sisi.

Salah satu lagi faktor penting untuk saiz karpet ialah susunan perabot yang ada dalam sesuatu bilik. Jadi tidak semestinya karpet anda mesti dihamparkan menutupi keseluruhan lantai bilik. Ianya bergantung juga kepada susunan perabot, keperluan dan juga jenis lantai yang anda gunakan.

Berikut merupakan saiz karpet yang dicadangkan untuk saiz ruang standard :

Saiz Bilik Cadangan Saiz Karpet
5 x7 Kaki 3 x 5 Kaki
7 x10 Kaki 5 x 8 Kaki
10  x 12 Kaki 8 x 10 Kaki
11 x 14 Kaki 9 x 12 Kaki
14 x 17 Kaki 12 x 15 Kaki

Cara Hidup

Gaya hidup juga boleh menjadi faktor pemilihan saiz permaidani. Jika anda mahukan permaidani dengan corak yang tidak mudah kotor, anda boleh menggunakan permaidani jenis tenunan rata (low pile) kerana ia lebih mudah untuk diselenggara dan dijaga kebersihannya.

Penyelenggaraan

Kebanyakan permaidani perlu divakum secara berkala untuk mengelakkan hama. Karpet tenunan rata mudah untuk dibersihkan di rumah tanpa servis cuci karpet dari kedai dobi. Anda boleh membersihkannya dengan cara orang lama iaitu bawa keluar rumah dan tepukkannya dengan menggunakan batang penyapu.

Bahagian Bilik Manakah Perlu Dibeli Karpet Terlebih Dahulu?

Ia bergantung pada ruang yang paling banyak digunakan pada beberapa bulan pertama selepas berpindah masuk ke rumah tersebut. Jika anda sering menggunakan ruang tamu dan ruang makan, anda perlulah fokuskan pada ruang tersebut terlebih dahulu. Jika anda mempunyai bayi yang baru berjalan, anda mungkin perlu meletakkan permaidani di kawasan yang sesuai seperti bilik tidur dan ruang tamu.

Adakah Perlu Membeli Perabot Dan Permaidani Sekaligus?

Tiada ketetapan apa yang patut dibeli dahulu. Jika anda menghias bilik dan ruang tamu dari awal, seeloknya anda membeli barangan dan perabot yang penting terlebih dahulu seperti permaidani, sofa, meja makan dan sebagainya. Letakkan di tempat yang anda inginkan.

Apakah Saiz Karpet Yang Perlu Saya Beli?

Untuk saiz permaidani, ia bergantung pada beberapa faktor seperti berapa besar bilik itu, jenis biliknya dan perabot apa yang ada di dalam bilik itu.

Jika bahagian yang ingin dipasang itu besar dan luas, menggunakan saiz permaidani yang besar adalah lebih baik. Permaidani yang terlalu kecil akan membuatkan ruang tersebut lebih kelihatan kecil dan sempit, lagi-lagi bila anda sudah mula memasukkan perabot.

Pro Tips

Sebagai cadangan, anda perlu membeli permaidani yang lebih besar supaya perabot yang berada di sekeliling menyentuh permaidani tersebut.

Sekiranya anda ingin menggunakan permaidani yang terlalu kecil, lapiskan dengan permaidani yang lebih besar di bawahnya supaya ia kelihatan lebih luas.

Tips Beli Karpet
Gambar dari Sukhi

Bagaimana Cara Pemasangan Karpet/Permaidani Untuk Rumah Berkonsepkan Open-Concept?

Dari segi pemasangan permaidani, ia mempunyai beberapa pilihan. Anda boleh menggunakan dua permaidani di kawasan yang berasingan. Selain itu, anda juga boleh menggunakan permaidani yang dapat menutupi seluruh ruang (wall to wall). Selepas itu, lapis dengan menggunakan permaidani yang kecil pada bahagian permukaan karpet supaya ia kelihatan lebih menarik.

Tips Beli Karpet
Gambar dari Matterport

Bolehkah Saya Letakkan Permaidani di Atas Karpet?

Sangat boleh, pada masa kini, begitu banyak rumah yang telah memasang karpet tetapi, meletakkan permaidani pula di bahagian atas. Untuk memastikan karpet itu tidak mudah beralih pada tempatnya, seeloknya anda menggunakan “carpet tape”.

Tips Beli Karpet
Gambar dari Twelve On Main

Adakah Pad Permaidani Diperlukan?

Setiap permaidani memerlukan pad permaidani. Sebab utama pad permaidani sangat penting adalah kerana ia melindungi kedua-dua permaidani dan lantai daripada perabot berat dan kesan dari tapak kaki apabila dipijak, ia juga memainkan peranan penting bagi memastikan permaidani sentiasa berada ditempatnya.

Tips Beli Karpet
Gambar dari Wayfair.com 

Itu sahaja perkongsian mengenai tips beli karpet pada kali ini. Semoga bermanfaat.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down