Tips Untuk Cuci Lampu Agar Kembali Berseri

490 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Awal-awal beli lampu, bukan main cantik nampak rumah kita. Tapi, kenapa makin lama makin malap cahayanya, ya?

Lampu ini ibarat barang kemas. Makin lama dipakai, jika tak digilap maka hilanglah serinya. Ada masanya anda perlu melakukan sedikit pembersihan agar ia kembali nampak bersinar.

Nampak senang kan nak cuci lampu? Tapi sebenarnya anda perlu tahu juga bagaimana cara dan alatan yang betul supaya lampu bukan saja bersih malah kembali bersinar seperti dulu.

Ingat, langkah pertama untuk membersihkan sebarang lampu di rumah anda, samada lampu dapur, lampu bilik atau lampu ruang tamu adalah keselamatan. Itu adalah perkara yang paling wajib untuk diutamakan. 

Jika lampu anda terletak tinggi dari lantai, anda mungkin memerlukan sebuah tangga. Jadi, anda harus memastikan permukaan lantai tersebut stabil dan bebas daripada sebarang bahaya.

Senarai & Langkah Untuk Cuci Lampu Yang Betul Di Rumah

Semak Senarai Untuk Membersihkan Lampu

Sebelum anda membersihkan lampu pastikan anda sudah pun bersiap sedia dengan beberapa alatan yang penting. Berikut merupakan senarai barang yang perlu ada : 

  • Kain tidak berbulu atau jenis mikrofiber
  • Penyapu habuk
  • Air duster 
  • Air dalam botol semburan
  • Pencuci serba guna
  • Pemutar skru pelbagai Jjenis
  • Mentol ganti yang sama saiz dan watt

Langkah-Langkah Cuci Lampu Dengan Betul

1. Tutupkan Suis Lampu

Ini mungkin kelihatan simple sahaja tapi ia antara langkah yang penting untuk menjaga keselamatan anda dan juga lampu anda. Ia bertujuan untuk memastikan tiada aliran elektrik mengalir di dalam lampu tersebut. Jika anda berasa was-was walaupun dah tutup suis lampu, anda juga boleh menutup suis utama.

langkah cuci lampu

2. Tanggalkan Aksesori Lampu

Jika lampu anda mempunyai aksesori, tanggalkannya dengan berhati-hati. Letakkan aksesori tersebut di atas permukaan lantai yang rata dan selamat untuk tujuan pembersihan. Apabila hendak menggantungkan balik aksesori tersebut, letakkan tuala atau selimut di bawah lampu untuk mengelakkan kejadian aksesori lampu rosak akibat jatuh.

3. Bersihkan Bingkai Lampu

Selepas anda keluarkan apa-apa aksesori lampu atau diffuser lampu tersebut, bersihkan bingkai menggunakan apa jua bahan yang terbaik agar ia kelihatan cantik dan kembali berkilat. Sesetengah material bingkai memerlukan kaedah pembersihan yang khas. Manakala sesetengah lampu perlu mengikuti langkah-langkah yang khusus untuk membersihkan lampu tersebut. Jadi, pastikan anda ada pengetahuan tersebut dan mengikuti panduan tersebut.

4. Bersihkan Mentol Lampu

Setelah anda selesai menjalankan kerja-kerja mencuci lampu, barulah anda boleh memasang mentol lampu. Lihat jika mentol anda ada yang sudah malap - ia mungkin hampir penghujung jangka hayatnya. Jika menukarkan mentol ini awal, anda tidak perlu lagi melakukan dua kerja yang memenatkan dalam masa yang berbeza.

5. Pasang Semula Lampu

Jika lampu anda mempunyai banyak komponen, adalah lebih baik jika anda mengambil gambar sebelum melakukan kerja-kerja pembersihan atau merujuk kepada buku panduan lampu, jika ada.

Panduan Cuci Lampu Mengikut Jenis Material Di Rumah Anda 

Lampu Permukaan Kaca Atau Porselin

Mana-mana bahagian lampu yang diperbuat daripada kaca adalah yang paling mudah untuk dibersihkan. Cara untuk membersihkannya adalah hanya lap dengan kain biasa. 

Untuk bahagian yang lembap atau berminyak, anda perlu menggunakan kain yang lembap untuk memastikan lampu anda bersih. Namun, harus diingatkan bahawa pastikan anda mengelap lekapan tersebut sehingga kering sepenuhnya untuk mengelakkan tompokan air. Untuk aksesori yang boleh ditanggalkan, anda boleh menurunkannya dan membasuhnya dalam air suam dengan sabun pinggan mangkuk.

Lampu Permukaan Kristal 

Ini adalah permukaan yang agak rumit untuk dibersihkan. Penting untuk anda mencuci lampu kristal ini dengan berhati-hati dan teliti untuk memastikan kristal kelihatan tajam dan berkilauan. Sedikit semburan dari air duster akan membantu anda menghilangkan habuk-habuk yang kecil. Untuk langkah cuci lampu kristal yang lebih terperinci, anda perlu merujuk kepada pakar di kedai lampu berhampiran.

Lampu Permukaan Logam

Lampu permukaan logam pula perlu dilap dengan kain yang bersih dan bebas habuk. Untuk membuatkan logam tersebut kelihatan berkilat, anda boleh menggunakan pembersih kaca kerana ia mampu menghilangkan apa jua kotoran yang degil. Anda perlu berhati-hati apabila menggilap lampu ini terutamanya yang mempunyai rekabentuk antik kerana ia mungkin mempunyai bucu yang tajam.

Lampu Permukaan Kayu

Cara pembersihan ini bergantung kepada kemasan kayu tersebut. Penggunaan air duster sangatlah berguna untuk membuang habuk pada permukaan kayu tersebut. Jangan sesekali menggunakan kain yang basah untuk mengelap debu pada permukaan kayu kerana ianya boleh merosakkan lampu itu.

Lampu Permukaan Acrylic Dan Plastik

Permukaan ini sama sahaja seperti kaca. Acrylic dan juga plastik sangatlah mudah untuk dijaga. Lapkan permukaan tersebut dengan kain lembap untuk menghilangkan kesan kotoran yang degil. Elakkan membasuh acrylic sepenuhnya kerana ianya lebih mudah untuk meninggalkan kesan tompokan air.

Lampu Permukaan Fabrik Atau Kertas

Permukaan ini antara permukaan lampu yang harus anda bersihkan dengan kerap sekali kerana ia ianya mudah terdedah kepada kerosakan akibat pengumpulan habuk. Habuk pada permukaan tersebut hanya boleh dibuang menggunakan air duster dan kemudiannya dilap menggunakan kain.

Ini sahaja perkongsian dari Giler Deco kali ini. Semoga lampu rumah anda kembali berseri selepas ini!

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down