Tips Memilih Warna Karpet Agar Harmoni Dengan Cat Dinding

3,213 views
Jom kita bertiktok-tiktok di TikTok GilerDeco untuk lebih banyak inspirasi deko cantik.
Giler Deco

Rumah yang kelihatan cantik dan menarik datang dari pemilik rumah yang pandai mengharmoniskan warna; samada warna cat dinding, perabot dan hiasan lantai seperti karpet. Pemilihan warna dan corak karpet juga cukup memainkan peranan dalam memastikan ianya kelihatan harmoni.

Jadi sudah tentu selain tips membeli karpet yang umum, anda memerlukan tips memilih warna karpet seperti ini untuk menceriakan rumah anda!

Dalam proses dekorasi, memang seronok bila mix & match karpet dan warna dinding. Namun, ia bukanlah proses yang mudah dan kadang-kadang boleh pening kepala untuk memilih warna karpet yang sesuai.

Anda boleh memilih untuk menyuai padan warna karpet dan dinding yang senada, namun berbeza kepekatan. Jika anda seorang yang adventurous, warna kontra mungkin menjadi pilihan. Yang pasti, warna permaidani dan dinding bilik tidak boleh sama kerana ia akan menjadikan suasana rumah anda bosan dan suram, sedangkan tujuan asal anda meletakkan karpet adalah pelengkap supaya ia kelihatan ceria dan menarik.

Tips Memilih Warna Karpet

Patutkah Warna Permaidani Dan Dinding Dipadankan?

Ya, sudah pasti. Terdapat banyak pilihan semasa memilih permaidani dan warna dinding. Ia bertujuan untuk menjadikan permaidani tersebut menyerlah ruang, boleh dijadikan sebagai pemisah antara ruang dan menjadikan persekitaran ruang tersebut serta berinteraksi di antara satu sama lain.

Bagaimana Cara Memilih Warna Karpet Yang Tepat?

Penggunaan terlalu banyak warna dalam satu bilik boleh membuatkan rumah anda kelihatan tidak menarik. Apabila memilih warna karpet, perlu diketahui bahawasanya jarang sekali permaidani didatangkan dengan warna solid.

Sebaliknya, kebanyakan jenis karpet atau permaidani mempunyai campuran warna dengan pelbagai corak.

Selain itu, ada juga permaidani yang mempunyai corak jalur atau chevron yang memperlihatkan kepelbagaian apabila digunakan di dalam bilik. Ia membenarkan campuran warna accent membentuk corak pada karpet / permaidani tersebut.

Jika anda bijak dalam memilih padanan karpet yang sesuai dengan warna dinding rumah anda, ruang anda akan tampak hidup dan berseri.

Jadi teruskan membaca untuk mengetahui banyak lagi tips memilih karpet untuk rumah anda.

Anda Perlu Fikirkan Tentang Ruang

Jika permaidani/karpet dipasang pada bahagian yang sering dikunjungi dan dipijak seperti laluan pintu masuk, anda perlu menggunakan warna yang lebih gelap. Karpet gelap membuatkan kotoran seperti tapak kaki/kasut sukar untuk dilihat.

Jika anda ingin memasang karpet di bilik tidur atau ruang tamu, anda boleh menggunakan permaidani berwarna cerah atau terang untuk memberikan suasana yang ceria. Ini sesuai dengan fungsi keduanya sebagai tempat untuk bersantai dan bersosial.

Namun tidak salah jika anda memilih karpet berwarna gelap seperti coklat gelap jika anda inginkan gaya yang mewah atau menghangatkan di bilik tidur atau ruang tamu rumah anda.

Pro Tips

Karpet berwarna pastel sesuai untuk diletakkan di bilik tidur, terutamanya bilik tidur kanak-kanak atau nurseri untuk bayi kerana ia memberikan rasa yang tenang.

Gambar dari : AliExpress 

Selain itu, pencahayaan dan saiz sesebuah ruang juga memainkan peranan penting dalam pemilihan warna karpet yang sesuai. Bilik yang kecil akan nampak sedikit luas sekiranya menggunakan warna karpet yang cerah. Namun, ruang yang terlalu besar, akan memberikan rasa selesa jika anda meletakkan permaidani yang berwarna gelap.

Apakah Warna Neutral Permaidani Yang Baik?

Jika anda tidak tahu memilih warna yang sesuai, anda boleh memilih permaidani yang mempunyai warna neutral. Warna neutral adalah warna yang boleh melengkapkan pelbagai jenis warna lain dan ianya sesuai untuk kebanyakan warna dinding.

Contoh warna neutral adalah, tan (warna coklat pucat), kuning air, taupe (campuran warna tan dan kelabu), kelabu atau putih pucat.

Kebanyakan warna neutral akan mempunyai campuran warna lain yang dipanggil flecks. Gunakan flecks ini untuk memadankan warna dinding atau perabot di dalam bilik.

Gamabar dari : Overstock 

Patutkah Anda Mengecat Sebelum atau Selepas Memasang Permaidani?

Sebolehnya, anda perlu mengecat dahulu sebelum memasang permaidani baru. Jika anda merancang untuk memasang permaidani baru dan mengecat dinding pada masa yang sama, pastikan anda selaraskan kedua-dua kedudukannya. Selain itu, anda boleh mendapatkan sampel warna cat dan permaidani untuk dibandingkan dan dipadankan warnanya terlebih dahulu. Dengan cara ini, ia dapat mengelakkan anda dari menukar warna cat akibat daripada padanan warna yang tidak sesuai. Kan membazir nanti.

Perlukah Warna Permaidani Dipadankan Dengan Keseluruhan Rumah?

Permaidani rumah anda tidak perlu dipadankan dengan warna keseluruhan rumah. Apabila memilih permaidani untuk setiap bilik, apa yang penting adalah ia bersesuaian dengan keperluan dan hiasan bilik daripada padanan setiap rumah.

Sebagai contoh, permaidani heavy pile pada bahagian pintu masuk utama atau ruang legar berkemungkinan memerangkap semua kotoran dan habuk dari kesan tapak kasut lalu dicemari secara kekal. Walau bagaimanapun, ia mungkin menjadi pilihan yang sempurna dalam mencipta suasana yang mewah seperti yang anda inginkan di dalam kawasan bilik tidur atau ruang tamu.

Bilik Apakah Yang Memerlukan Karpet?

Jika anda mahu menghiasi setiap bilik di rumah dengan karpet, tiada masalah. Karpet adalah satu hiasan yang sangat berguna untuk lantai. Hal ini kerana, ia dapat menyerap bunyi dan menjadikan sesuatu ruang hangat dan selesa.

Kawasan Manakah Biasanya Menjadi Tumpuan Untuk Dipasang Permaidani/Karpet?

  1. Bilik Tidur
    Apabila anda bangun pada pagi musim hujan, berjalan di atas lantai yang sejuk merupakan satu cabaran yang besar. Penggunaan permaidani dapat memberikan kehangatan dan keselesaan apabila dipijak. Selain itu, ia juga mampu menjadikan bilik lebih menarik dan ceria.
  2. Ruang Tamu
    Permaidani yang cantik boleh membuatkan ruang tamu anda lebih ceria dan menarik. Dengan itu, ia dapat menimbulkan suasana yang tenang dan mampu menghilangkan rasa stress, penat bekerja dan sebagainya.
  3. Bilik Permainan
    Kelembutan yang dimiliki oleh permaidani menjadikannya sangat sesuai digunakan untuk kanak-kanak yang masih belum mampu untuk berdiri dengan betul. Sekiranya mereka jatuh di atas permaidani sewaktu sedang belajar berjalan, mereka tidak akan mendapat kesan lebam.

Apakah Tips Lain Pemilihan Warna Karpet

Jika ingin memilih warna karpet atau permaidani, sebolehnya, elakkan daripada menggunakan warna putih. Hal ini kerana, warna putih menyebabkan kotoran mudah untuk kelihatan pada karpet tersebut.

Selain itu, warna permaidani yang terlalu gelap juga tidak disarankan untuk digunakan. Fabrik yang berwarna gelap sangat cenderung dan lebih mudah untuk menarik habuk dan hama untuk berkumpul pada kawasan tersebut dan membuatkan ia mudah dilihat dengan mata kasar kesan habuk tersebut.

Di samping itu, jika anda memilih untuk menggunakan karpet atau permaidani jenis berbulu, pastikan ia mudah untuk divakum. Kalau tidak, kerja-kerja memvakum akan menjadi sukar di kemudian hari.

Idea Padanan Warna Karpet dan Warna Dinding Untuk Anda

Karpet Kelabu

Warna yang versatil dengan banyak pilihan tona. Warna kelabu cerah memberikan rasa sejuk, sesuai dipadankan dengan dinding berwarna kuning mustard. Warna kelabu gelap pula menjadikan ruang lebih nyaman. Karpet kelabu gelap bercorak juga memberikan rasa yang mewah jika dipadankan dengan dinding yang berwarna gelap atau hitam.

Selain warna dinding, warna aksesori seperti kusyen bertona hangat juga akan menyerlahkan karpet berwarna kelabu.

Warna dinding yang sesuai: Putih, krim, beige, kuning, merah jambu

Tips memilih warna karpet
Gambar dari : Cormar Carpets 

Karpet Beige (kuning air)

Warna neutral yang selamat untuk mana-mana ruang. Disebabkan warna beige ini dikategorikan sebagai warna hangat,dinding dan perabot bertona sejuk adalah padanan yang paling sesuai untuk ruang yang bersuasana neutral.

Warna dinding yang sesuai: Kelabu, warna-warna cerah untuk menceriakan suasana.

Karpet Krim

Menjadikan ruang sempit nampak luas, pilihan yang sempurna jika bilik tidur anda mempunyai ruang terhad. Untuk ekstra efek luas, padankan dengan dinding berwarna neutral atau sejuk seperti krim, putih atau ivory serta cermin dan meja kaca untuk memantulkan cahaya pada permukaan. Untuk suasana yang sofistikated pula, pilih cat dinding berwarna kelabu tona sedang-sedang.

Tips memilih warna karpet
Gambar dari : Ashley 

Karpet Coklat

Merupakan warna semulajadi yang menjadikan ruang nampak neutral. Jika anda sangat berani memadankan warna, anda boleh memadankan karpet coklat dengan dinding berwarna biru. Namun sebaiknya anda menggunakan tona suhu yang kontra - biru hangat untuk warna karpet coklat sejuk dan sebaliknya.

Warna dinding yang sesuai: Krim, beige dan biru

Tips memilih warna karpet
Gambar dari : BO BEDRE

Karpet Merah Jambu

Warna yang popular untuk bilik kanak-kanak, namun tak salah untuk anda menghamparkan karpet merah jambu di ruang yang lain. Jika anda inginkan ruang yang bergaya klasik, warna dinding yang cerah merupakan pilihan yang sesuai. Untuk pemilik rumah yang berjiwa muda dan moden, warna-warna hijau, ungu dan kuning mungkin membangkitkan semangat yang baru. Namun, pastikan ada aksesori atau perabot berwarna putih untuk melembutkan warna-warna kontra tersebut.

Warna dinding yang sesuai: Putih, neutral dan kelabu

Tips memilih warna karpet
Gambar dari : Bestgoodshop

Kesimpulannya, pemilihan padanan warna permaidani yang tepat dan sesuai dapat menjadikan kawasan dalam rumah anda lebih menarik dan kelihatan harmoni. Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
magic-wandeyecamerabookuserrocketmagnifiercrosschevron-down