Tentu setiap rumah mempunyai TV sama ada satu, dua ataupun lebih. Kebiasaannya, TV akan diletakkan pada ruang tamu atau bilik tidur. Keselesaan menonton TV bergantung kepada jarak sofa dan TV. Jika anda tidak sediakan jarak yang betul, anda akan berasa tidak selesa dan tidak syok untuk menonton TV.
Jadi, anda perlu pastikan jarak tempat duduk anda dengan TV tidak terlalu dekat dan tidak terlampau jauh. Jarak sofa dan TV yang betul akan memberikan keselesaan kepada penonton dan tidak memberikan kesan sampingan yang lain seperti sakit mata atau lain-lain.
Di sini kami telah kumpulkan jarak sofa dan TV, sudut tontonan TV, ketinggian TV dan pencahayaan TV yang sesuai dengan rumah anda.
Kebiasaannya, jika anda membeli TV tentu pengeluar akan sediakan manual dan mengesyorkan kepada anda jarak yang sesuai untuk menonton TV. Tetapi jika tidak ada, anda boleh gunakan cara ini untuk menentukan jarak tontonan TV anda!
Saiz skrin diagonal | Jarak sofa dan TV |
26" | 3'3" - 6-6" (1.0m - 2.0m) |
32" | 3'8" - 7'6" (1.1m - 2.3m) |
37" | 4'3" - 8'5" (1.3m -2.6m) |
43" | 5'3" - 10'5" (1.6m - 3.2m) |
47" | 5'9" - 11'8" (1.8m -3.6m) |
51" | 6'3" - 12'5" (1.9m -3.8m) |
55" | 6'9" - 12'8" (2.1m - 3.9m) |
60" | 7'5" - 15' (2.3m - 4.6m) |
65+" | 8'1" - 16'2" (2.5m - 4.9m) |
Sudut tonton maksimum TV akan bergantung pada TV anda dan teknologi yang digunakannya sama ada LCD, LED atau pun plasma.
Kebanyakan skrin TV menawarkan sudut tontonan TV yang sangat lebar, kira-kira 160 darjah. Justeru, anda boleh melihat imej pada skrin TV dari hampir mana-mana arah sahaja di dalam bilik.
Tetapi untuk tontonan TV yang baik pastikan anda mendapatkan sudut tontonan 45 darjah dari tempat duduk yang anda letakkan.
Secara amnya, ketinggian TV hendaklah pada paras dengan garis penglihatan mereka yang menontonnya. Jadi tentukan di mana garis penglihatan anda ketika berada di atas sofa atau katil dan cari tempat yang sesuai untuk anda letakkan TV, di mana bahagian tengahnya sejajar dengan mata anda.
Selain itu, TV bersama bracket dengan pilihan putaran dan kecondongan juga adalah pilihan yang terbaik kerana ia dapat membantu untuk meletakkan TV anda dalam kedudukan yang baik mengikut keselesaan anda.
Sesetengah TV skrin flat telah disertakan lampu di sisi TV yang memancarkan cahaya lembut pada sekeliling TV. Ini kerana jika anda menonton TV di dalam bilik gelap ia akan menyebabkan mata anda cepat letih. Jadi, jika TV anda tidak mempunyai lampu ini, anda harus fikirkan cara untuk memancarkan cahaya lembut ke dinding pada belakang TV dan ia akan mempunyai kesan yang sama iaitu menenangkan.
Tambahan lagi, skrin TV tidak seharusnya menghadap tingkap kerana ia akan menyebabkan silau pada skrin. Sekiranya anda tidak dapat elakkan situasi tersebut disebabkan oleh ruang yang terhad, anda boleh pasangkan bidai atau langsir yang boleh menyerap cahaya secara langsung tetapi masih membiarkan sedikit cahaya masuk pada waktu siang supaya anda boleh menonton TV dengan selesa.
Setakat ini sahaja perkongsian daripada Giler Deco, semoga perkongsian kali ini dapat membantu anda semua menentukan jarak sofa dan TV, sudut tontonan, ketinggian dan pencahayaan TV supaya anda dapat menonton TV bersama keluarga tersayang dengan selesa.
Semoga bermanfaat!